MINDA YANG KREATIF AKAN MENGHASILKAN SATU NATIJAH YANG SANGAT MEMBANGGAKAN DALAM ARENA PENULISAN.

Friday, July 06, 2007

“SYIAH…SIAPAKAH MEREKA DAN APAKAH SIKAP KITA TERHADAP MEREKA?”
[audio]
ISI KANDUNGAN

 Mukaddimah
 Syiah : Pengertian Bahasa & Istilah
 Perbezaan Antara Syiah & Tasyaisyu’
 Firqah-firqah Syiah dan pecahannya
 Sejarah ringkas Syiah Imamiah
 Siapakah Syiah Imamiah?
 Perbezaan Syiah dan Ahli Sunnah
 Pendirian Syiah : Al-Quran, Hadith, Sahabat
 Buku-buku rujukan untuk kajian Syiah
 Syiah Imamiah : Muslimkah mereka??
 Khomeini : Siapakah beliau sebenarnya?
 Dalil-dalil Syiah : sejarah, hadith & lojik
 Pendekatan Antara Sunni-Syi’e

Abdullah Ibn Mubarak pernah berkata : “Agama itu bagi ahli hadith, percakapan dan pengkhayalan bagi ahli falsafah dan penipuan bagi golongan syiah.”

بسم الله الرحمن الرحيم

MUQADDIMAH

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana dengan taufiq dan izinNya, saya dapat menyiapkan sebuah kertas kerja ringkas mengenai permasalahan aliran syiah. Penyusunan kertas kerja ini dilakukan adalah berdasarkan kepada permintaan dari beberapa orang sahabat saya untuk menelaah persoalan-persoalan aliran ini menerusi kajian dari kitab-kitab para ulama’ sunni dan syi’e. Sesungguhnya, permasalahan syiah bukanlah suatu perkara baru bagi umat Islam sejagat, malah ia adalah aliran yang telah wujud sejak dari beberapa abad yang lalu. Untuk memperkatakan tentang fahaman syiah dan membuat hukuman ke atasnya bukanlah perkara yang mudah. Ia perlu kepada kajian ilmiah yang mendalam menerusi kitab-kitab induk ulama’ mereka sehingga segala pendapat adalah beralaskan hujah-hujah yang mantap. Oleh itu, kertas kerja ini adalah terlalu kerdil jika dibandingkan dengan puluhan malahan ratusan kitab-kitab karangan ulama’-ulama’ silam yang menyentuh fahaman syiah dan hukuman Islam terhadapnya.

Memandangkan persoalan syiah sejak kebelakangan ini semakin hangat diperkatakan di sana-sini, terutamanya di tanahair kita, ada baiknya kita menyingkap kembali helaian-helaian sejarah perkembangan syiah yang pada asalnya berbaur politik. Seperti yang dimaklumi, berbagai-bagai aliran keagamaan seumpama mu’tazilah, murji’ah, khawarij, qadariah, qadyaniah, baha’iah dan lain-lain lagi telah pun luput ditelan zaman sekalipun setengahnya masih bersisa. Aliran-aliran tersebut suatu ketika dulu menjadi topik hangat perbahasan ulama’-ulama’ besar dan diperangi habis-habisan sehingga ianya tidak kedengaran lagi. Ini adalah kerana apa jua aliran fahaman yang terang-terangan cuba memutarbelit atau mempermainkan soal-soal aqidah dan syariat, ia seharusnya diperangi habis-habisan. Semoga Allah memberikan ganjaran kebajikan kepada para sahabat, tabi’en, tabi’ tabi’en serta salafussoleh yang berjuang menegakkan agama Allah dan menumbangkan segala kebatilan. Kebenaran itulah yang lebih berhak diikuti oleh umat Islam sejagat.

Apa yang menarik untuk diketengahkan di sini ialah aliran syiah mempunyai bermacam-macam puak yang berlainan pegangan serta fahaman mereka. Dasar taqiyah yang menjadi anutan serta amalan mereka seringkali mengaburi puak-puak bukan syiah yang rabun terhadap realiti syiah. Aliran semacam inilah yang sukar diberikan hukuman secara total. Golongan syiah ghulat (pelampau) memang sudah jelas terkeluar dari medan Islam. Tetapi golongan Imamiah (kelompok syiah terbesar di Iran, Iraq dan lain-lain) masih menjadi tanda-tanda kebanyakan umat Islam. Ulama’-ulama’ sunni tidak mempunyai kata sepakat dalam menghukum golongan ini. Taqiyah yang menjadi amalan mereka menjadikan seolah-olah syiah anutan, mereka berada di antara hakikat dan khayalan. Pendapat-pendapat ulama’-ulama’ golongan ini juga saling bercanggah di antara satu sama lain.

Menyedari hakikat inilah, kita sebagai golongan mahasiswa agama di Universiti Al-Azhar sewajarnya benar-benar matang dalam perkara ini tanpa mengira fakulti dan jurusan yang diceburi. Adalah amat menyedihkan apabila kita dihadapkan dengan permasalahan syiah, kita hanya mencari alasan rapuh dengan mengatakan bahawa perbezaan syiah dengan sunni macam perbezaan mazhab Syafie dengan Hanafi iaitu masalah-masalah furu’ sahaja. Atau kita membiarkan sahaja masalah ini dengan beralasan demi perpaduan ummah. Ataupun kita tidak berpendirian langsung dalam hal ini. Seorang muslim sunni yang sejati tidak sanggup malahan tidak tergamak membiarkan puak-puak syiah ini meragui Al-Quran, memperlekeh sunnah, melaknat sahabat r.a serta memperalatkan ahlul-bait menurut hawa nafsu mereka. Mahu tidak mahu, kita seharusnya bersikap tegas dalam masalah ini sehingga sejarah hitam lampau tidak akan berulang lagi. Seorang mukmin itu tidak akan termasuk ke dalam lubang atau perangkap untuk kali kedua.

Ya, dunia Islam hari ini memerlukan kepada kesatuan umat sejagat. Perpaduan ummah adalah perkara pokok untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan Islam terhadap musuh-musuhnya. Golongan minoriti Islam ditindas dan dizalimi di sana sini. Kita pada hari ini terlalu memerlukan kepada solidariti negara-negara Islam untuk berhadapan dengan pakatan kuffar zionis dan salibiyyah. Umat Islam yang telah sedia berpecah-belah harus disatukan kembali dan segala titik-bengik perselisihan di antara mereka sewajarnya ditolak ke tepi. Sikap berbaik sangka, saling bersefahamn dan berlaku jujur seharusnya ditanamkan di hati setiap individu muslim. Lalu wujudlah usaha-usaha pendekatan di antara sunni-syi’e sebagai menyahut seruan perpaduan ummah.

Usaha-usaha semacam ini bukanlah suatu perkara baru, tetapi ia telah pun cuba dilakukan oleh ulama’-ulama’ silam. Tanyalah pada Syeikh Mustafa as-Suba’ie, Syeikh Muhibbuddin Al-Khatib dan lain-lain lagi. Bacalah catatan Allamah Syeikh Abdullah as-Suweidi al-Abbasi di Muktamar Najf 1156H. Tatapilah tulisan Abdul Hussein Musavi dalam al-Murajaatnya. Berhasilkah pendekatan syi’e-sunni yang dilaungkan itu? Kemudian muncul pula Ayatollah Khomeini mengulangi seruan yang sama kepada perpaduan ummah. “La Syi’e Wala Sunni” pula menjadi suatu slogan yang popular kepada pencinta-pencinta semangat revolusi di serata dunia Islam pada ketika itu. Tetapi ternyata kemudian yang ianya hanyalah semata-mata taqiyah seorang penganut Imamiah tulen.

Dalam mendokong cita-cita Islam, seseorang muslim sepatutnya dapat membezakan di antara pendirian politik dan anutan mazhab. Ramai pendokong cita-cita Islam terpukau dengan semangat revolusi Islam yang dijajakan oleh Ayatollah Khomeini setelah Iran dikuasai. Lalu ia dianggap sebagai satu-satunya jago Islam yang berwibawa dalam menangani permasalahan umat. Selanjutnya kejahilan dan semangat buta ini telah menyeret mereka menganuti ajaran-ajaran syiah gara-gara mahukan Islam ala-Khomeini. Ramai yang mengenali kehebatan dan ketokohan Khomeini melalui kenyataan-kenyataan politiknya tetapi tidak ramai yang mengenalinya menerusi buku-buku karangannya… Mana satukah yang harus dipegang ; cakap politiknya atau tulisan kitabnya?? Bagi mereka yang menyanjung Khomeini, cubalah belek kitab Tahrir Wasilahnya ataupun Hukumat Islamiahnya yang penuh dengan fatwa-fatwa yang ganjil.

Apa yang amat dikesalkan, semangat revolusi Islam yang ingin dieksport ke negara kita tiba-tiba menjelma menjadi ajaran syiah yang amat menggerunkan. Bayangkan saja, ramai cerdik pandai kita di pusat-pusat pengajian tinggi yang terpengaruh sama dan menjaja syiahnya kepada anak-anak buahnya. Maka terkumpullah puak-puak syiah jadian dari kalangan intelek tersebut yang bersedia untuk menjadi kader-kader penyebar syiah. Perkembangan semacam ini amat membimbangkan umat Islam di tanahair. Cukuplah persengketaan demi persengketaan antara sunni dan syi’e yang terjadi sepanjang sejarah. Apa perlunya kita beralih kepada Iran atau syiah sedangkan manhaj Rasulullah dan para sahabat r.a sudah jelas dan memadai untuk diikuti. Kalaulah slogan “La Syi’e Wala Sunni” benar-benar jujur dan tidak bermotifkan politik, mengapa dan kenapa syiah dijaja ke sana ke mari untuk menambah bilangan penganut Imamiah. Tidak memadai itu sahaja, anak-anak mereka telah dihantar ke Qom, Iran untuk mendalami ajaran syiah Imamiah agar kelak menjadi kader-kader yang sedia berhujah dan berdebat bila-bila masa sahaja.

Bersama ini, kita mengenali syiah lebih dekat melalui perkembangannya sepanjang sejarah, puak-puak pecahannya, pegangan aqidah dan syariat, perbezaan antara syiah dan sunni dan hukuman Islam terhadapnya. Semoga kertas kerja ini sedikit sebanyak dapat memberi penjelasan dan gambaran ringkas mengenai permasalahan syiah yang selama ini mengelirukan masyarakat Islam kita. Mudah-mudahan usaha-usaha ini diterima Allah Taala dalam menegakkan kebenaran. Sekian dari penyusun.


DEFINISI SYIAH : BAHASA & ISTILAH

Pengertian bahasa :

Syiah dari sudut bahasa : Mereka adalah para pengikut, pendokong dan penyokong. Asal syiah ialah sekumpulan manusia seperti yang tersebut dalam Lisanul Arab. Perkataan syiah digunakan untuk seorang, dua atau ramai, lelaki atau perempuan dengan satu lafaz dan satu makna. Panggilan ini sering ditujukan kepada sesiapa yang berwala’kan Ali dan ahlul-baitnya r.a sehinggalah ia menjadi nama khas mereka. Apabila disebut : si fulan itu syiah, maka difahamkan bahawa ia adalah dari golongan itu. Atau si fulan bermazhab syiah, iaitu anutan mereka. Asal syiah ialah dari musyaya’ah ( المشايعة ) iaitu mengikut dan mematuhi. [Lisanul Arab]

Ibnu Khaldun dalam Mukaddimahnya berkata : Ketahuilah bahawa syiah dari sudut bahasa ialah para pengikut dan penyokong. Ia diungkapkan dalam istilah para fuqaha dan ulama’ kalam, baik salaf mahupun khalaf untuk pengikut setia Ali serta anak-anaknya r.a [Mukaddimah Ibnu Khaldun]

Dalam al-Qamus al-Muhit ada tersebut, Syiah si fulan iaitu para pengikut, penyokong dan puaknya. Ia diungkap untuk seorang, dua atau ramai, lelaki atau wanita. Panggilan ini lebih kerap ditujukan kepada sesiapa yang berwala’kan Ali dan ahlul-baitnya sehinggalah menjadi nama serta jolokan khas mereka. Jama’nya ialah نشهاع وشعع Dalam al-Munjid ada tersebut : Syiah : mufradnya syi’e, iaitu puak. Diungkap untuk seorang, dua atau ramai, lelaki atau wanita. Panggilan ini lebih kerap ditujukan kepada setiap orang yang berwala’kan Ali dan ahlul-baitnya sehinggalah ianya menjadi nama khas mereka.

Ihsan Ilahi berkata : Lafaz syiah tidak diungkapkan melainkan ke atas pengikut seseorang dan penyokongnya. Contohnya : Si fulan dari syiah fulan iaitu orang yang mengikutinya. Seperti kata az-Zubaidi : Setiap kaum yang berhimpun di atas sesuatu perkara, mereka adalah syiah (pengikut). Sesiapa yang membantu seseorang dan berparti untuknya, ia adalah syiahnya. Asal perkataan ini dari ‘Musyaya’ah iaitu taat setia dan menjadi pengikut. Perkataan ini pada zaman pertama Islam tidak digunakan melainkan pada makna asal dan hakikinya. Ia juga tidak digunakan melainkan untuk parti-parti politik dan puak-puak yang bertelagah dalam sebahagian masalah-masalah yang berkaitan dengan pemerintahan dan para pemerintah. Penggunaan perkataan ini mulai tersebar luas ketika perselisihan di antara Muawiyah bersama Ali r.a selepas kesyahidan Uthman r.a. Lalu dikatakan kepada pengikut-pengikut Ali sebagai syiah Ali. Mereka – syiah Ali – memandang bahawa Ali r.a adalah khalifah rasyidin yang keempat dan lebih berhak untuk khilafah dari Muawiyah atau selainnya. Mereka menyokong dan membantunya dalam peperangan terhadap Muawiyah. Sebagaimana juga syiah Muawiyah berpendapat sebaliknya lantaran pembunuh-pembunuh Uthman r.a yang berselindung dalam kem Ali serta naungannya menurut dakwaan mereka.

Adapun dakwaan orang yang mengatakan bahawa perkataan ini telah tersebar pada zaman Nabi saw sebagaimana tasyaiyu’ telah ada pada zamannya begitu syiah, adalah dakwaan yang tidak mempunyai dalil dan bukti seperti kenyataan Mohamed Al-Hussein dalam bukunya (Aslu Syiah wa Usuluha) : “Sesungguhnya orang pertama yang menaburkan benih tasyaiyu’ di lapangan Islam ialah pembawa syariat itu sendiri. Maknanya benih tasyaiyu’ ditanam bersama benih Islam saling beriringan. Penanamnya terus melazimi siraman dan penjagaannya sehinggalah ia membesar dalam kehidupannya kemudian menghasilkan buah selepas kewafatan beliau.” [Aslu Syiah wa Usuluha]

Menurut Dr. Musa Al-Musavi : Bermulanya pergeseran di antara syiah dan tasyaiyu’ ketika syiah menyelewengkan makna tasyaiyu’ dari mencintai Imam Ali dan ahlul-bait kepada mencela khulafa’ rasyidin serta mencaci mereka secara langsung dan mencela Imam Ali bersama ahlul-baitnya secara tidak langsung.

Syiah di dalam Al-Quran

Para pembaca Al-Quran akan mendapati di dalamnya perkataan (asy-syiah) disebutkan dalam beberapa tempat. Antaranya firman Allah Taala : “(Orang) ini adalah dari syiahnya (pengikutnya) dan (orang) ini adalah dari musuhnya. Lalu syiahnya meminta bantuan darinya terhadap lawan musuhnya.” [Al-Qasas :15] “Sesungguhnya di antara syiahnya ialah Ibrahim” [As-Saffat : 83] Iaitu orang yang mengikutinya di atas usul-usul agama.

Syiah : Pengertian Istilah

Menurut Mohamed Hussein Al-Hasaniy : Syiah ialah beri’tikad dengan idea-idea dan pendapat-pendapat tertentu diambil dari Nabi saw yang sampai kepada kita melalui Ali dan anak-anaknya iaitu imam-imam sebelas yang ma’sum suci sesuci-sucinya a.s. [Fi Zilal Tasyaiyu’]

Syeikh al-Mufid berkata : Syiah ialah orang yang mengikuti Ali dan mengutamakannya ke atas para sahabat Rasulullah saw dan beri’tikad bahawa dialah (Ali) imam secara nas menurut mazhab Imamiyah atau secara sifat menurut mazhab Jarudiyah. [Mau’suah Atabat Muqaddasah al-Khalili, Hal.91]

Tersebut di dalam Lam’ah Dimasyqiah : Syiah ialah orang yang mengiringi Ali iaitu mengikuti dan mendahulukannya ke atas selainnya dalm perkara imamah sekalipun ia tidak menyetujui pimpinan imam-imam yang lain (a.s). [Syarh Lam’a Dimasyqiah, Jil.2, Hal.228]

Asy-Syahrustani berkata : Syiah ialah mereka yang mengikuti Ali (a.s) secara khusus serta mengatakan pimpinan (imamiah) dan khilafahnya secar nas dan wasiat, sama ada secara jelas atau tersirat. Mereka beri’tikad bahawa imamiah itu tidak terkeluar dari anak-anaknya. Sekiranya terkeluar secara zalim dari selain anak-anaknya atau dengan taqiyah darinya, mereka mengatakan pimpinan itu bukan persoalan maslahat yang bergantung pada pilihan umum. Atau terlantiknya imam itu dengan lantikan mereka, bahkan ia adalah persoalan usul iaitu rukun agama tidak boleh bagi Rasulullah mengabai, mengalpa dan menyerahkannya kepada umum serta membiarkannaya. Mereka (syiah) berijma’ mengatakan wajib penentuan, nas serta sabit kemaksuman imam-imam yang wajib dari dosa-dosa besar dan kecil, dan mengatakan wala’ dan bara’ secara ucapan dan perbuatan. [Milal wa Nihal : Syahristani, Jil.1, Hal.195]

An-Nobakhti berkata : Puak syiah yang pertama ialah puak Ali bin Abu Talib (a.s) yang dikenali dengan syiah Ali pada zaman Rasulullah saw. Selepas kewafatannya mereka terkenal dengan hubungan mereka secara khusus kepada Ali dan mengatakan pimpinannya…

Antara mereka ialah al-Miqdad bin al-Aswad : Dia adalah salah satu dari kader yang empat. Dia adalah antara orang yang menyertai peperangan Badr dan peperangan selanjutnya. Dia telah melalui dugaan yang baik dan meninggal di Jaraf tahun 33 H zaman khilafah Uthman ketika berumur 70 tahun. Dia telah diusung dan dikebumikan di Baqie’. Keduanya ialah Salman al-Farisi : Dia adalah salah seorang dari kader yang empat. Jolokannya ialah Abu Abdullah dan digelar Salman al-Muhammadi. Peperangan pertama yang disertainya ialah Khandaq dan menyertai peperangan selanjutnya, pembukaan Iraq serta gabenor di Madain. Meninggal di sana pada tahun 36 H atau 37 H. Ketiganya ialah Abu Zar al-Ghifari : Dia salah seorang dari kader yang empat. Seorang yang zuhud, terkenal, jujur dengan saksi Nabi saw. Dia adalah orang keempat atau keenam memeluk Islam. Meninggal di Rabzah tahun 31 H atau 32 H dan disembahyangkan oleh Ibnu Mas’ud. Antara mereka ialah Ammar bin Yasir : Salah seorang kader yang empat telah berhijrah ke Madinah dan menyertai semua peperangan. Hadith-hadith mutawatir dari Nabi saw mengatakan bahawa Ammar akan dibunuh oleh puak pemberontak. Mereka berijma’ bahawa dia telah terbunuh bersama Ali dalam peperangan Siffin ketika berusia 39 tahun. Sesiapa yang bertepatan cintanya kepada Ali a.s, mereka adalah orang pertama dipanggil dengan tasyaiyu’ dan syiah dari kalangan umat ini. Panggilan tasyaiyu’ adalah lama, syiah Ibrahim, Musa, Isa dan para anbiyak a.s. [Firaqus Syiah – Nobakhti]

Syiah dan Usul-usul Islam
Syiah beri’tikad bahawa Islam berdasarkan kepada tiga usul :
1. Tauhid
2. Nubuwwah
3. Ma’ad
Mereka menambahkan dua usul lain iaitu :
4. Keadilan Allah
5. Imamah (Imam-imam 12)
Lima usul di atas disebut sebagai makna Islam secara khusus dan tiga usul sahaja disebut sebagai makna Islam secara umum.

Sejarah Tasyaiyu’

Setelah kita menyebutkan makna tasyaiyu’ dari pengertian bahasa dan istilah serta usul-usul yang didasarkan padanya, kita seharusnya mengetahui sejarah kemunculan tasyaiyu’. Dalam persoalan ini, pendapat-pendapat saling bertelagah di antara mereka yang mendakwa bahawa tasyaiyu’ berbalik kepada zaman akhir selepas kewafatan Nabi saw dan mereka yang mengatakan ianya kembali kepada zaman Umawiyah pertama akibat dari tekanan serta penindasan yang dialami oleh para pengikut Ali dan anak-anaknya (a.s) dari golongan Umawiyah. Antara pendapat mengatakan ianya berbalik kepada unsur-unsur asing yang bekerja secara sulit untuk memusnahkan Islam. Ada pendapat mengatakan ianya kembali kepada zaman Saidina Uthman Affan dan para pengikutnya dipersoalkan oleh orang-orang Islam. Ramai para penulis kalangan sunni dan orientalis mengatakan Abdullah bin Saba’ telah memainkan peranan yang menonjol dalam membentuk idea tasyaiyu’…dan berbagai-bagai lagi pendapat. [Fi Zilal Tasyaiyu’]

Antara Syiah & Tasyaiyu’

Tasyaiyu’ ialah istilah yang disebut bagi mereka yang menzahirkan cinta kepada ahlul-bait. Ahlul-bait yang dimaksudkan ialah Ali bin Abu Talib, Fatimah az-Zahra’ dan anak-cucunya. Mencintai ahlul-bait merupakan suatu perkara yang dituntut dalam banyak hadith-hadith Nabi saw. Ia menunjukkan kepada kelebihan dan kedudukan mereka yang mulia. Banyaknya riwayat-riwayat hadith, baik yang bertaraf sahih, hasan, dhaif mahupun maudhu’seolah-olah membayangkan bahawa Nabi saw mengetahui ahli keluarganya akan dimusuhi di belakang hari. Lantaran banyaknya riwayat-riwayat ini, muncullah golongan yang mendakwa ia adalah isyarat penentuan khilafah dari Nabi kepada ahlul-baitnya. Berbagai takwilan dan tafsiran dibawa untuk disesuaikan dengan riwayat-riwayat tersebut. Segala takwilan-takwilan itu hanya direka untuk kepentingan taksub kepuakan sejak masa lalu. Tasyaiyu’ dalam makna asalnya (mencintai ahlul-bait) adalah perkara yang tidak bertentangan dengan pegangan ahli Sunnah selagi ia tidak terkeluar dari batasan yang patut.

Pun begitu, ia telah disalaherti dan diselewengkan oleh orang-orang syiah. Tasyaiyu’ yang pada asalnya mencintai ahlul-bait telah bertukar kepada mencaci-maki khulafa’ rasyidin, para sahabat dan golongan ahli sunnah. Mereka mengertikan tasyaiyu’ dengan al-wala’ (taat setia) kepada imam-imam mereka dan al-bara’ (berlepas diri) dari khulafa’ rasyidin dan para sahabat r.a. Sesiapa yang tidak berbuat demikian, menurut dakwaan mereka – ia tidak dianggap sebagai pencinta ahlul-bait. Justeru itu, setiap orang syiah itu bertasyaiyu’ (mencintai ahlul-bait) dan tidak semestinya sesiapa yang bertasyaiyu’ itu dianggap syiah. Jadi, istilah tasyaiyu’ adalah lebih umum dari perkataan syiah.

Manakala istilah syiah digunakan untuk suatu aliran mazhab aqidah dan feqh yang mempunyai usul-usul dan dasar-dasarnya yang tersendiri. Ia mempunyai aliran dan pecahan yang berbeza antara satu sama lain. Perbezaan ini didasarkan di atas penentuan imam-imam yang menggantikan Imam Ali bin Abu Talib sama ada melalui Hassan dan Hussein mahupun Muhammad al-Hanafiah.

Dalam kitab “Maqalat Islamiyyin”, Imam Abu Hassan al-Asyari telah berkata: Kaum syiah ialah kaum ar-Rafidhah yang bermaksud orang-orang yang menolak dan dinamakan demikian kerana mereka menolak keimaman Abu Bakar dan Umar serta mereka bersepakat bahawa Nabi saw telah menentukan Ali r.a sebagi penggantinya dengan menyebut namanya dan mengumumkannya terang-terangan. Kasyiful Ghita’ dalam kitabnya, “Asal Syiah dan usul-usulnya” hal.92, berkata : Dikhususkan nama syiah pada hari ini tanpa ragu-ragu ke atas al-Imamiyah”.

Firqah-firqah Syiah

Pembahagian puak-puak syiah di bawah ini mengikut penentuan imam-imam yang memimpin mereka. Setiap puak-puak besar ini mempunyai beberapa pecahan aliran yang kecil di bawahnya :
1. Al-Kisani ialah pengikut-pengikut Muhammad Ibnu al-Hanafiah, anak saidina Ali
bin Abu Talib dan bukan dari Fatimah az-Zahra’.
2. Al-Husaini ialah pengikut-pengikut Abu Abdullah al-Hussein bin Abu Talib, saudara kepada al-Hassan.
3. Al-Hasani ialah pengikut-pengikut Al-Hasan bin Ali bin Abu Talib, saudara kepada al-Hussein.
4. Az-Zaidiyah ialah pengikut-pengikut Zaid bin Ali Zainal Abidin bin Al-Hussein bin Ali bin Abu Talib.
5. Ithna Asyariah atau Al-Imamiyah ialah pengikut-pengikut Abu Jaafar Mohamed al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Hussein bin Ali bin Abu Talib.
6. Al-Ismailiyah ialah pengikut-pengikut Ismail bin Jaafar as-Sadiq bin Mohamed al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Hussein bin Ali bin Abu Talib.

Imam Syahristani membahagikan kaum syiah kepada lima golongan : Kisaniyah,
Zaidiyah, Ghulah, Imamiyah dan Ismailiyah. Kesemua golongan-golongan ini adalah sama atau lebih menyeleweng kefahamannya dari syiah Imamiyah melainkan syiah Zaidiyah. Bahkan ada di antara golongan Ghulat, Kisaniyah dan Ismailiyah yang mengakui ketuhanan atau mempunyai sifat ketuhanan ke atas Ali dan imam-imam selepasnya (wal’iyazubillah). Oleh itu, segala fahaman syiah yang dibincangkan di sini adalah tertumpu kepada syiah Imamiyah atau Ithna ‘Asyariyah serta ketiga-tiga golongan yang lebih melampau darinya. Apatah lagi kebanyakan penyokong revolusi Iran semasa adalah dari golongan ini.
______________________________________________________

Rujukan Catatan :

 Firaqus Syiah : Al-Nobakhti
 Fi Zilal at-Tasyaiyu’: Mohd. Hussein al-Hasaniy
 Asy-Syiah Wa Tasyaiyu’: Ihsan Ilahi Zahir
 Hukum Ulama’-ulama’ Islam Terhadap Syiah : Ibnu Umar
 Asy-Syiah Wa at-Tashih : Dr. Musa al-Musavi


Siapakah Syiah Ithna ‘Asyariah?

Mereka adalah kelompok yang mempercayai adanya dua belas orang imam sahaja yang berhak untuk imamah. Imam-imam itu ialah :
1. Ali bin Abu Talib (Abul Hasan Murtadha) w40 H.
2. Al-Hasan bin Ali (Abu Mohamed Zaki) w49 H.
3. Al-Hussein bin Ali (Abu Abdullah As-Syahid) w61 H.
4. Ali bin Al-Hussein (Ali Zainal Abidin) w94 H.
5. Mohamed bin Ali (Abu Jaafar Al-Baqir) w117 H.
6. Jaafar bin Mohamed (Abu Abdullah As-Sadiq) w148 H.
7. Musa bin Jaafar (Musa As-Sadiq) w183 H.
8. Ali bin Musa (Ali Ar-Redha Abul Hasan) w203 H.
9. Mohamed Al-Jawwad At-Taqi bin Ali (Abu Jaafar) w220 H.
10. Ali bin Mohamed (Al-Hadi Al-Taqi) w254 H.
11. Al-Hasan bin Ali (Al-Hasan Al-Askari) w260 H.
12. Mohamed Al-Mahdi (Sahibul-Zaman – Imam Muntazar) lahir 256 H.

Setiap dari imam-imam di atas ini mempunyai masyhad (makam) yang dikunjungi dan dilawati di Iraq dan Iran.

Kisah-kisah menyebutkan tentang kehilangan Imam terakhir iaitu Mohamed Al-Mahdi di Sirdab di Sir Man Ra’a (Samra’) di Iraq. Kelompok Ithna ‘Asyariah menanti kedatangan semula Mahdi. Meskipun Ibnu Taimiah, Ibnu Hazm dan lain-lain telah mensabitkan bahawa Al-Hasan Al-Askari telah wafat semasa muda ketika berumur lebih 20 tahun sebelum berkahwin atau menurunkan zuriat. Mereka juga telah mensabitkan bahawa khalifah Abbasiah telah menahan salah seorang jariahnya yang mendakwa hamil darinya empat tahun tanpa lahir tanda-tanda kehamilan.

Bersama kesepakatan kelompok Ithna ‘Asyariah kesemuanya ke atas kewajipan pimpinan imam-imam itu, tetapi itu tidak menolak adanya perselisihan sesama mereka. Iaitu perselisihan khusus dengan hubungan mereka dengan imam-imam ini dan pendapat-pendapat terhadap mereka. Juga penyesuaian dengan perisyiwa-peristiwa sejarah yang mengiringi kemunculan mereka yang masih dilingkungi suatu misteri besar.

Mereka yang mengatakan pimpinan Al-Hasan Al-Askari telah terpecah kepada sebelas firqah. Antaranya secara ringkas :
1. Firqah Pertama : Mereka bertolak dari dua teori : - Bumi tidak sunyi dari seorang
imam – Bagi imam itu (qaim) melalui dua ghaibah. Kepercayaan mereka tersimpul
bahawa Al-Hassan tidak mati. Dia yang bangkit (qaim) dan tidak seharusnya dia
mati (teori pertama) serta tidak punya anak. Kehilangannya adalah salah satu
ghaibah (teori kedua) dan akan muncul kembali, dikenali kemudian akan
menghilang semula iaitu ghaibah kedua.
2. Firqah Kedua : Mereka mengatakan : Al-Hasan telah mati. Dia akan hidup
semula. Dialah qaim( القيم ) iaitu kebangkitan selepas mati. Dia tidak punya
anak, maka wajib ia hidup semula selepas mati. Tetapi mereka tidak menentukan waktu kebangkitannya dan masih lagi menunggu kemunculannnya.
3. Firqah Ketiga : Mereka mengatakan : Al-Hasan telah mati dan berwasiat kepada
saudaranya Jaafar.
4. Firqah Keempat : Mereka mengatakan : Mereka tersilap melantik Al-Hasan Al-
Askari sebagai imam. Al-Hasan telah mati. Imam itu sebenarnya saudaranya,
Jaafar.
5. Firqah Kelima : Mereka mengatakan : Mereka tersilap melantik Al-Hasan Al-
Askari sebagai imam. Al-Hasan telah mati. Jaafar sama saja seperti saudaranya Al-
Hasan. Kedua-duanya fasiq tetapi Al-Hasan telah bersembunyi. Imam itu
sebenarnya saudara mereka Mohamed bin Ali.
6. Firqah Keenam : Mereka mengatakan : Al-Hasan punya anak yang telah dilahirkan
sebelum kematian bapanya dua atau setahun. Bapanya telah menyembunyikannya
khuatir dari bapa saudaranya Jaafar dan seteru. Anak itu namanya Mohamed.
Dialah al-qaim dan mahdi muntazar.
7. Firqah Ketujuh : Mereka mengatakan : Al-Hasan telah mati sebelum melihat
anaknya. Anaknya dilahirkan selepas kematiannya selama lapan bulan.
8. Firqah Kelapan : Mereka mengatakan : Kematian Al-Hasan adalah sah. Begitu
juga dia tidak punya anak. Dakwaan kehamilan jariahnya adalah batil, lalu sabitlah
bahawa imam selepas Al-Hasan tidak ada. Mereka juga mengatakan : Adalah
harus pada lojiknya Allah memutuskan al-hujjah dari penduduk bumi dengan
kehilangan imam lantaran kemaksiatan mereka. Ia adalah tempoh dan zaman
ketiadaan imam.
9. Firqah Kesembilan : Mereka mengatakan : Al-Hasan telah mati dan sah
kematiannya serta punya anak. Kita tidak mengetahui sama ada ia lahir sebelum
matinya atau selepasnya. Kewujudan anaknya dipastikan kerana Allah tidak
membiarkan bumi ini tanpa ada al-hujjah. Anak ini ialah pengganti akan kita tahu
namanya sehingga muncul dengan rupa parasnya.
10.Firqah Kesepuluh : Mereka mengatakan : Kita mengetahui bahawa Al-Hasan telah
mati. Orang ramai mesti ada imam. Akan tetapi kita tidak tahu adakah dia anak Al-
Hasan atau dari selainnya.
11.Firqah Kesebelas : Firqah ini tidak menyatakan pendirian dalam kekeliruan ini dan
mengatakan : Kita tidak tahu hakikat sebenar perkara itu secara pasti.
Beginilah secara ringkas pembentangan secara kasar firqah-firqah dan pegangan
setiap mereka.

Pendirian Syiah Terhadap Al-Quran

Kebanyakan ulama’-ulama’ Syiah dan ahli hadith mereka hampir berijma’ bahawa Al-Quran ialah apa yang terdapat di antara kulit mashaf yang diturunkan ke atasa Rasulullah saw. Allah telah menjamin pemeliharaannya. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Az-Zakr (Al-Quran) dan Kamilah yang memeliharanya.” Allah Taala telah memelihara Al-Quran Al-Hakim dari sebarang mainan atau penyelewengan ataupun tokok-tambah.

Salah seorang ulama’ besar syiah iaitu Imam Al-Khoie dalam tafsirnya (Al-Bayan) setelah membentang pendapat-pendapat para fuqaha Islam dan ahli hadith termasuk dari kalangan syiah sendiri tentang adanya penyelewengan dalam Al-Quran ataupun tiada, berkata : “Dari apa yang kita sebutkan, jelas kepada pembaca bahawa hadith penyelewengan adalah suatu hadith khurafat yang tidak diucapkan kecuali oleh orang yang lemah akal atau sesiapa yang tidak meneliti pandangannya dengan sebenar. Adapun orang yang berakal, insaf dan meneliti, ia tidak meragukan lagi kebatilan serta kekhurafatan hadith itu.”

Imam Mohamed Redha Muzaffar dalam buku (Aqa’idul Imamiah) di bawah tajuk (Aqidah kita pada Al-Quran) berkata : “Kita mempercayai bahawa Al-Quran adalah wahyu Ilahi yang diturunkan dari Allah Taala ke atas lidah nabiNya yang mulia. Padanya penjelasan setiap sesuatu. Ia adalah mu’jizat abadiNya yang melemahkan manusia untuk meniru pada sudut balaghah, fasohah, hakikat-hakikat kandungannya, pengetahuan yang tinggi, tidak dinodai dengan penyelewengan, penukaran dan tokok-tambah. Ini yang kita baca adalah Al-Quran yang sama diturunkan kepada nabi. Sesiapa saja yang mendakwa selain itu, dia telah melampau, bersalah atau terkeliru. Semua mereka itu di luar petunjuk. Sesungguhnya ia adalah kalamullah yang tidak didatangi oleh kebatilan dari arah hadapan dan belakang.

Syeikh Mohamed bin Mahdi Al-Husaini Asy-Syirazi dalam buku (Identiti Syiah), berkata : “Al-Quran - pada pandangan syiah – adalah kitab dari langit yang diturunkan Allah ke atas rasulNya Muhammad bin Abdullah saw untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kejahilan, kefakiran dan jenayah kepada cahaya ilmu, kebenaran dan istiqamah. Ia telah mengakhiri semua syariat. Ia menjadi suatu perlembagaan bagi manusia sejagat hingga hari kiamat. Al-Quran ialah kitab ini yang berada di antara dua kulit mashaf, yang tersebar di seluruh dunia dengan berbagai bahasa, yang dibaca pada siang dan malam, di rumah-rumah, di masjid-masjid, di badan-badan penyiaran dan lain-lain. Jumhur ulama’ dari kalangan Ahlul-bait hinggalah ke hari ini bersama dengan pendapat-pendapat ini. Perkara itu tidak lagi memerlukan perbincangan yang meleret-leret. Kenyataan-kenyataan mereka ini juga barangkali berupa taqiyah sahaja.

Dalam pada itu, kita melihat sekumpulan syiah lain pula berpendapat bahawa Al-Quran Al-Karim telah berlaku padanya penyelewengan, penukaran dan tokok-tambah. Kita tidak ragu-ragu lagi bahawa orang yang mengatakan ucapan itu kalau mempercayainya, pastilah dia telah terkeluar dari islam. Pendapat ini telah dipegang oleh sebahagian penganut syiah. Ia adalah suatu perkataan bodoh yang tidak menunjukkan sesuatu kecuali niat jahat, kekurangan akal dan kebodohan mereka. Mereka mengucap perkataan ini terkadang secara bersembunyi dan terkadang secara terang-terangan. Mereka itu segolongan lain bukan mereka yang mentakwil Al-Quran dan mengeluarkan tafsiran yang baik kepada tafsiran yang buruk seperti yang anda akan lihat ketika membincangkan fasal syiah dan tafsir.

Bagaimanapun, perbincangan kita di sini mengenai orang-orang yang mengatakan penyelewengan Al-Quran, tokok-tambah dan pengurangan. Perkataan mereka ini menunjukkan tidak beriman kepada Al-Quran. Ketika perbincangan kita mengenai mereka itu, anda akan mendengar suatu keanehan perkataan hampir-hampir anda tidak mempercayainya.

Sehinggakan salah seorang mereka yang mengatakan penyelewengan Al-Quran telah mengarang sebuah buku tentang masalah ini dinamakan (Faslul Khitab fi Tahrif Kitab Rabbil Arbab) oleh An-Nuri At-Tabrasi. Begitu juga diucapkan oleh Sayyed Hasyim Al-Bahrani dalam Mukaddimah tafsirnya Al-Burhan dan Ni’matullah Al-Jazairi. Demikian juga Sayyed Mohamed Laknawi, Mohamed bin Ibrahim An-Ni’mani, Ibnu Babuwaih Al-Qommi, At-Tusi, Ibnul Abbas Mihyar dan lain-lain. Mereka di sebalik perkataan penyelewengan bertujuan untuk mengisbat nas-nas lain yang bersesuaian dengan nafsu mereka tentang nas nyata pada kepimpinan Ali, kelebihan ahlul-bait. Perkataan ini juga merupakan suatu wasilah untuk mencaci Abu Bakar, Umar dan Othman kerana dia – menurut dakwaan mereka – apabila Nabi saw pernah mengumumkan di hari Ghadir.

“Sesungguhnya Ali bin Abu Talib adalah waliku, wasiku dan khalifahku selepasku.” Tetapi para sahabatnya bertindak seperti kaum Musa, lalu mereka mengikat lembu dan tukang sihir umat ini iaitu Abu Bakar dan Umar…Maka marahlah golongan munafiqin terhadap khilafahnya dan khilafah Rasulullah dari khalifahnya, seterusnya melampaui batas khalifah Allah kepada kitab Allah. Mereka menyeleweng, selainnya yang mengatakan penyelewengan atau sekurang-kurangnya penambahan dan pengurangan telah disebutkan oleh pengarang buku Faslul Khitab iaitu An-Nuri Tabrasi. Padanya pegangan sesiapa yang bersandar kepada mengatakan penyelewengan Al-Quran. Kita akan bawakan pendapat sebahagian ulama’ syiah dalam buku ini.

Ketika membentang contoh-contoh yang saya naqal dari buku-buku syiah, anda akan melihat suatu keanehan. Antaranya apa yang didakwa secara terang-terangan perbezaan di antara mashaf yang ada pada umat Islam dan apa yang mereka katakana tentang mashaf Ali atau mashaf Fatimah.

Al-Kulaini meriwayatkan dari Ali bin Hakam, Hisyam bin Salim dari Abu Abdullah (Jaafar) a.s berkata : “Sesungguhnya Al-Quran yang dibawa oleh Jibril kepada Muhammad saw sebanyak 17,000 ayat. Adapun yang berada di tangan kita, darinya 6,203 ayat dan bakinya tersimpan pada ahlul-bait yang dihimpunkan Ali a.s.”

Mereka mengatakan : Surah (Lam yakun) pernah mengandungi nama 70 orang lelaki Quraisy bersama nasab keturunan serta datuk. Surah Ahzab seperti Al-An'am, mereka telah menggugurkan darinya kelebihan-kelebihan ahlul-bait dan surah (al-wilayah) telah digugurkan sepenuhnya dan lain-lain lagi khurafat mereka. Antara kata-kata mereka ialah tentang mashaf Fatimah. Tahukah anda apakah itu mashaf Fatimah?? Mereka telah mengatakan mengenai mashaf Fatimah : "Abu Basir berkata : Aku telah menemui Jaafar As-Sadiq pada suatu hari, lalu ku katakan padanya yang aku ingin menyingkap suatu perkara khusus, apakah ada di sini orang asing? Imam itu pun mengangkat hijab pemisah di antara majlis kami dengan majlis yang lain. Kami tidak melihat sesiapa pun. Kemudian dia berkata : Tanyalah semahumu. Lalu ku tanyakan satu soalan tentang ilmu Ali Al-Murtadha dan imam-imam. Kemudian dia pun menyebut percakapan yang panjang. Antara lain dia mengatakan : Di sisi kami ada mashaf Fatimah r.a. Ku katakana : Tahukah mereka mashaf Fatimah? Dia berkata: Ia seperti Al-Quran kamu ini tiga kali ganda. Demi Allah, tidak terdapat padanya sehuruf pun dari Al-Quran kamu."

Antara tambahan yang didakwakan dalam Al-Quran :
( من يطع الله ورسوله فى ولاية على والأنعمة بعده فقد فاز فوزا عظيم )
"Sesiapa yang mentaati Allah dan RasulNya (dalam wilayah Ali dan imam-imam selepasnya), maka sesungguhnya dia telah berjaya kejayaan yang besar."
( ولقد عهدنا آدم من قبل فى محمد وعلى وفاطمة والحسن والحسين من ذريتهم فنفسه )
Antaranya : Dari Abdullah bin Sinan, Abu Abdullah a.s dalam firman Allah : "Sesungguhnya kami telah mengambil janji dari Adam sebelumnya beberapa perkataan (pada Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan, Hussein dan imam-imam) dari zuriat mereka, lalu dia terlupa."
( وان كنتم فى ريب مما نزلنا على عبدنا فى على فأتوا بسورة من مثله )
Antaranya : "Jika kamu ragu-ragu dari apa yang Kami turunkan ke atas hamba Kami (pada Ali), maka datangkanlah suatu surah yang seumpamanya."
( قال الحق من ربكم فى ولاية على , فمن شاء فليؤمن ومن شاء فليكفر)
Antaranya : "Katakanlah (Hai Muhammad) keberanian itu dari Tuhanmu (pada wilayah Ali). Siapa mahu, dia beriman dengannya, dan siapa mahu dia boleh mengengkarinya. Sesungguhnya Kami sediakan untuk orang-orang yang menganiaya (keluarga Muhammad) baginya api neraka."

Seterusnya berbagai-bagai lagi tambahan terhadap nas Al-Quran. Ianya terlalu banyak. Apa yang penting bagi kita sebelum meninggalkan tajuk ini, melihat kepada beberapa perhatian penting :
1. Riwayat-riwayat itu bercelaru. Ia dibawakan tanpa menjelaskan penyelewengan dari selainnya. Seumpama perkataan Imam Jaafar As-Sadiq yang dikaitkan kepadanya, kepadanya Al-Quran ada 17,000 ayat dan mashaf Fatimah yang tidak terdapat padanya sehuruf pun dari Al-Quran kita. Ia suatu perkara jika kita membenarkannya pastilah ia bermakna penolakan semua riwayat-riwayat lain – di sisi syiah – yang menunjukkan bahawa perkara asal ialah nas popular yang saling dibawakan yang anda temuinya pada setiap nas-nas yang dibawakan oleh setiap orang yang mengatakan sabit penyelewengan syiah terhadap Al-Quran.
2. Masalah ini – iaitu penyelewengan Al-Quran dan ijma' syiah terhadap penyelewengannya dari pihak syiah nyaris-nyaris tidak disebutkan oleh buku-buku Al-Firaq meskipun banyaknya kisah perselisihan sekalipun sedikit. Jika perkara ini disebutkan, barangkali yang mengatakannya satu firqah atau setengah firqah sedangkan firqah-firqah syiah banyak sekali seperti yang kita ketahui.
3. Banyak para perawi dari imam-imam itu telah membohongi mereka. Memadailah untuk anda tahu bahawa perawi cerita mashaf Fatimah iaitu Abu Basir adalah antara perawi-perawi popular yang diragukan thiqat mereka. Dia adalah seorang pembohong seperti yang dinaqalkan oleh Allamah Muhibuddin Al-Khatib dalam mukaddimah buku "Muhtasar Tuhfah Ithna 'Asyariah" karangan Allamah Dahlawi.
4. Sering disebut-sebut oleh mereka yang mempertikai syiah bahawa kitab Al-Kafi karangan Al-Kulaini, suatu kitab yang Bukhari di sisi kita? Kita katakan : Tidak. Al-Kafi tidak seperti Al-Bukhari kerana sebab-sebab berikut : Mereka yang memperkatakan tentang kitab itu tidak seorang pun mengatakan ianya macam Al-Bukhari. Apa yang ada di sana, mereka memujui-muji lelaki bernama Al-Kulaini kerana menganggapnya berhak untuk itu. Pujian terhadapnya tidak bermakna pujian terhadap bukunya (Al-Kafi) dan mempercayai sepenuhnya terhadap cerita-ceritanya. Pujian dan sanjungan terhadap buku itu juga tidak bermakna menerima bulat-bulat segala isinya. Kalau tidak begitu, mengapa setengah-setengah ulama' syiah mengakui bahawa lebih 1.3 kandungan Al-Kafi adalah hadith-hadith maudhu' dan tidak semua isinya sahih.

Dalam buku (Sumber-sumber Hadith Di sisi Syiah Imamiah) karangan Allamah Muhaqqiq Sayyed Mohamed Hussein Al-Jalali, pembahagian hadith-hadith Al-Kafi, dia berkata : "Jumlah hadith-hadith di dalamnya sebanyak 16,121 hadith. Antaranya 9,485 hadith dhaif, 114 hadith hasan, 1,118 hadith muwassaq dan 2 atau 3 hadith sahaja yang kuat dan sahih."
( مصادر الحديث عند الشيعة الامامية )

Adakah buku seumpama ini di sisi mereka menyamai Al-Bukhari pada kehebatannya? Saya kira kitab Al-Kulaini tidak seperti Al-Bukhari, malah lebih rendah tarafnya dari kitab-kitab Sunnah dan Musnad. Saya berpendapat ia seakan-akan menyerupai tafsir At-Tabari dan tarikhnya kerana dia membawakan semua tulisannya bersama sanad atau tanpa sanad dan tidak mentarjihkan riwayat-riwayat serta athar-athar. Dia tidak membezakan antara sahih dan sebaliknya sekalipun yang ini datang pada tahap berikutnya. Kitab-kitab yang semacam ini dikira suatu warisan di sisi kita dan mereka perlu kepada tapisan serta semakan.

Pendirian Syiah Terhadap Sunnah

Sumber kedua dari sumber-sumber syariat Islam selepas Al-Quran ialah Sunnah Nabawi yang suci. Ia adalah kembar Al-Quran dari sudut sumber dan kewajipan mentaatinya. Allah swt berfirman yang bermaksud : "Apa yang dibawakan oleh Ar-Rasul, hendaklah kamu ambil. Apa yang yang dilarang olehnya hendaklah kamu hentikan. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat pedih azabnya." (Al-Hasyr : 7)

Kedudukan sunnah, status dan penghujahannya bukan di sini tempat perinciannya tetapi perhatian di sini ialah kepada pendirian Imamiah terhadap sunnah. Imamiah tidak memandang sunnah seperti yang kita lihat. Apa yang sahih pada kita mungkin mereka tidak menerimanya. Apa yang kita syaratkan untuk penerimaannya mungkin mereka membangkangnya…begitulah seterusnya.

Pendirian mereka terhadap sunnah berkisar bersama pendirian mereka terhadap perawi-perawi sunnah ini iaitu para sahabat r.a. Mereka tidak berpendapat bahawa para sahabat semuanya adil dalam riwayat seperti yang dikatakan oleh Ahli Sunnah. Malah mereka mempunyai satu pendapat lain terhadap sahabat dari segi kerapatan bersama Imam Ali, pembelaannya dan pendirian mereka bersama sesiapa yang memeranginya ketika fitnah dan selainnya. Apa saja hadith yang tersebut padanya nama seorang sahabat yang memerangi Ali, mereka menolaknya kerana mereka tidak mengambil kaedah keadilan Ahli Sunnah. Mereka telah membatalkan riwayat-riwayat yang sah dicurigai. Justeru itu, mereka tidak menerima hadith kecuali apa yang sahih bagi mereka melalui ahlul-bait dari datuk mereka. Iaitu diriwayatkan oleh As-Sadiq dari bapanyaAl-Baqir dari bapanya Zainal Abidin dari Hussein dari Rasulullah saw…begitulah seterusnya.

Imam Al-Hur'Amili telah membahagikan para sahabat kepada beberapa bahagian. Dia berkata, "Para sahabat ada tidak bahagian : معلوم العدالة , معلوم الفسقdan معلوم الحال. Maklum keadilan (diketahui keadilannya) seperti Salman, Miqdad dan sesiapa yang tidak menyalahi ahlul-bait walau sekelip mata. معلوم الفسق(diketahui kefasikannya) seperti sesiapa yang menyalahi ahlul-bait dan melahirkan kebencian, permusuhan serta memeranginya."

Antara kitab-kitab terpenting yang menjadi pegangan mereka dalam riwayat hadith-hadith dan athar ialah :

1. Kitab Al-Kafi karangan Abu Jaafar bin Yaakub Al Kulaini w328H dalam Usul dan Furu'. Ia ditulis pada kurun ke-4H sebanyak 3 jilid, jilid pertama mengenai usul, manakala kedua dan ketiga mengenai furu'. Syiah menganggapnya di antara kitab-kitab muktabar meskipun banyak terdapat padanya hadith-hadith serta athar-athar yang tidak dipercayai dan lemah. Mereka telah meletakkan dalam kitab ini segala akidah, usul-usul dan takhrij masalah-masalah akidah dan fiqh mereka. Ia disusun oleh Abu Jaafar selama 20 tahun dan meninggal pada 328H dan mencapai jumlahnya sebanyak 17,000 hadith.
2. Man La Yahdhuruhul Faqih karangan Muhaddis Abu Jaafar Mohamed bin Hussein bin Musa bin Babuwaih Al Qommi dikenali dengan As-Saduq. Meninggal pada 381H. Ia adalah ahli hadith kedua selepas Al-Kulaini. Tarafnya di bawah orang sebelumnya.
3. Al-Istibsor Fimakhtulifa Minal Akhbar karangan Imam Mohamed bin Al-Hasan At-Tusi. Ia adalah ringkasan kitab yang berikutnya. Bilangan hadithnya sebanyak 1,395 hadith. Ia adalah sebuah kitab yang membawakan hadith-hadith yang diriwayatkan dari imam-imam yang saling bertentangan, lalu dia mentaruhkan di antara riwayat-riwayat itu dan menjelaskan antara sahih dan dhaif menurut mazhab. Ia terkandung dalam tiga jilid besar.
4. Tahzibul Ahkam. Kedua-duanya dalam persoalan feqh dan hadith. Ia menyatakan dalam kitab itu sebab-sebab penyusunannnya bahawa ia dikarang untuk membungkam sesiapa saja yang mencaci syiah kerana kurang berpengetahuan dalam pendapat dan qias.

Buku-buku yang empat ini telah memberikan perhatian besar terhadap feqh Jaafariah dan mencatatkan masalah-masalahnya. Sesiapa yang menelaah buku-buku ini akan dikejutkan isi kandungannya yang penuh dengan khurafat dan kebatilan di samping sebahagian kebenaran, dan sudah semestinya dia menghukum ke atas matan-matannya dengan kebatilan dan rekaan.

Buku-buku ini tidak dapat diterima oleh Ahli Sunnah kerana beberapa sebab, antaranya :
• Kebanyakan hadith-hadith mereka ini diriwayatkan tanpa sanad, malah mereka hanya bergantung semata-mata kepada kewujudannya di dalam kitab-kitab mereka.
• Apa yang diriwayatkan dari hadith-hadith ini secara bersanad mestilah pada sanadnya terhadap orang syiah yang taksub dengan mazhabnya. Menjadi sikap syiah hingga ke hari ini bahawa mereka tidak mengambil hadith kecuali dari orang syiah. Mereka tidak menerima tafsir kecuali dari orang syiah. Mereka tidak mempercayai sama sekali sesuatu melainkan dihubungkan kepada mereka melalui orang syiah.

Syiah & Cacian Sahabat

Pendirian syiah terhadap para sahabat macam pendirian mereka terhadap Al-Quran di mana berkisar padanya perselisihan antara golongan pelampau dan sederhana., sekalipun persoalan sahabat khususnya perlu kepada perincian kerana ia bermula dari perkataan mereka dengan nas nyata dari Rasulullah saw kepada Ali dan ahlul-baitnya r.a. Sesiapa yang menjawat khilafah selepas Nabi, dia telah mengambil bukan haknya pada pandangan syiah. Justeru itu, mereka mencaci Abu Bakar, Umar dan Uthman. Bahkan juga jumhur sahabat yang merestui perkara itu!

Mereka terkadang mencaci sahabat bukan di atas sebab-sebab permasalahan khilafah, tetapi sudah semestinya berkaitan dengan ahlul-bait baik dari dekat maupun jauh seperti masalah Fatimah Az-Zahra' bersama Abu Bakar As-Siddiq ketika dia menyekat pusakanya dari Fadak…dan sebab-sebab lain.

Kita katakan : Kebanyakan penganut syiah mutakhir mencaci sahabat sama ada mengafir dan melaknat terang-terangan, ataupun melalui sindiran dan kritikan dari jauh atau dekat. Tetapi dari golongan mutakhir mereka mencaci sahabat melainkan sesiapa yang dirahmati Allah tidak berbuat demikian. Amat sedeikit sekali mereka itu. Kita telah nyatakan pendirian syiah terdahulu terhadap masalah ini. Kita melihat bagaimana mereka memberikan pujian yang baik kepada dua syeikh Abu Bakar dan Umar.

Manakala golongan mutakhir mereka telah berijma’ atau hampir berijma’ menyindir dan mengkritik para sahabat. Ya, tidak semua syiah yang mencaci semua sahabat, tetapi tidak seorang syiah pun dari mencaci salah seorang sahabat atau sebahagian mereka, terutamanya golongan mutakhir seperti yang akan kami nukilkan tentang mereka. Al-‘Iyasyi, Al-Qomni, As-Sofi, Al-Bahrani, An-Nabati, Al-Kasyani apatah lagi A-lKulaini, Ibnu Babuwaih Al-Qomni, Al-Mufid, Al-Kisyi, Al-Ardabili, Ibnu Towus Al-Hasani, Al-Majlisi dan lain-lain lagi, walhal mereka adalah ulama’-ulama’ dan ahli tafsir besar mereka yang mencaci para sahabat sama ada secara kasar atau terperinci, terang-terangan atau tersembunyi.

Manakala syiah terdahulu mereka berijma’ bahawa Abu Bakar dan Umar lebih utama dari Ali. Perselisihan hanya berlaku pada manakah yang lebih utama, Uthman atau Ali. Ia adalah apa yang diijma’kan melalui nukilan kata-kata mereka yang meluas. Nah, iini Syarik bin Abdullah ditanya oleh seorang lelaki : Manakah yang lebih baik : Abu Bakar atau Ali? Lalu Syarik berkata kepadanya : Abu Bakar. Orang itu bertanya lagi : Engkau mengatakan ini sedangkan kau orang syiah? Dia menjawab: Ya, sesiapa yang tidak mengatakan ini, dia bukan orang syiah. Demi Allah, mimbar ini telah dinaiki oleh Ali r.a seraya berkata : Ketahuilah sebaik-baik umat ini selepas nabinya ialah Abu Bakar kemudian Umar. Bagaimana kita menolak perkataannya? Bagaimana kita membohonginya? Demi Allah, dia bukan pendusta. Perkataan Ali ini telah diriwayatkan melalui banyak sanad. Dikatakan ada sebanyak 80 laluan sanad.

Hakikat Feqh Jaafari

Feqh Jaafari mempunyai pengikut yang ramai yang bertebaran di negara-negara Arab dan Islam seperti Iran, India, Pakistan, Iraq, Lubnan, Kuwait dan lain-lain. Mereka dikira sebagai bilangan kelompok terbesar selepas ahli sunnah. Kita dapati pada akhir-akhir ini suatu perhatian besar terhadap syiah Imamiah yang datang dari Mesir lalu iia mengadakan dar taqrib antara mazhab-mazhab Islam. Kementerian Wakaf telah mencetak beberapa kali buku berjudul “Mukhtasar Nafi’ Fi Fiqh Imamiah”.

Saya bawakan di sini sedutan muzakarah antara Syeikh Abdullah as-Suweidi bersama Mulla Basyi ketika Muktama Najaf mengenai mazhab Jaafariah (Mazhab Jaafar as-Sadiq), lalu Syeikh Abdullah berkata : “Sesungguhnya mazhab yang kamu anuti adalah batil, tidak berasaskan kepada ijtihad ulama’ mujtahid.” Basyi berkata : “Ini adalah ijtihad Jaafar as-Sadiq.” As-Suweidi menjawab : “Jaafar as-Sadiq tiada kaitan dengannya. Kamu tidak mengenali mazhab Jaafar as-Sadiq. Jika kamu katakan : Sesungguhnya dalam mazhab Jaafariah ada taqiah. Kamu dan orang selain kamu tidak mengetahui mazhabnya, kerana kemungkinan setiap masalah adalah taqiah. Justeru aku dengar dari kamu bahawa sebuah telaga miliknya terjatuh najis ke dalamnya, padanya ada tiga pendapat :
Pertamanya ; Ia ditanya tentangnya lalu ia berkata : Ia adalah laut yang tidak dapat dinajiskan oleh sesuatu.
Keduanya ; Air telaga itu dibuang kesemuanya.
Ketiganya ; Air telaga itu dibuang sebanyak 7 atau 6 baldi. Lalu ku katakan kepada sebahagian ulama’-ulama’ kamu : Bagaimana kamu lakukan dengan tiga qaul ini? Lalu ia menjawab : Dalam mazhab kami bahawa seseorang itu apabila berkelayakan untuk ijtihad, ia akan berijtihad dalam kata-kat Jaafar as-Sadiq lalu akan mensahihkan salah satu darinya. Lalu ku katakan : Apa yang akan dikatakan pada qaul yang lain? Ia berkata : Ia adalah taqiah! Lalu ku katakan : Apabila seorang mujtahi lain berijtihad kemudian mensahihkan qaul yang lain, apa yang akan dikatakan pada qaul sahih mujtahid pertama? Ia berkata : Ia adalah taqiyah! Lalu ku katakan : Kalau begitu, hilanglah mazhab Jaafar as-Sadiq. Kerana setiap masalah yang dikaitkan kepadanya barangkali adalah taqiyah lantaran tidak ada tanda pembeza di antara taqiyah dan bukan. Orang alim pun bungkam. Apa pula jawapan kamua? Ia juga menjadi bungkam. Kemudian ku katakan kepadanya : Jika kamu katakan “Tidak ada dalam mazhab Jaafariah taqiyah, ia bukanlah mazhab yang kamu anuti kerana kamu semua mengatakan taqiyah.” Mulla Basyi terus bungkam : Kemudian ku sebutkan kepadanya dalil-dalil selain ini yang menunjukkan bahawa anutan mereka bukanlah mazhab Jaafar as-Sadiq.

Kerajaan Safawiah & Permusuhan Terhadap Ahli Sunnah

Ismail as-Safawi telah mengasaskan negaranya pada 905 - 930 dan menjadikan tasyaiyu’ sebagai mazhab rasmi untuk kali pertama dalam sejarah Iran sebagai ganti dari mazhab ahli sunnah wal jamaah. Ia tidak hanya menukar mazhab negara saja, malah ia juga telah menghapus orang-orang sunni dari Iran semuanya. Bumi Iran pernah suatu ketika berbangga dengan kelahiran ahli-ahli hadith dan ulama’ besar seumpama Imam Muslim, Abu Daud, An-Nasaie dan Ibnu Majah. Demikian juga dalam feqh seumpama Abu Ishaq Syirazi, Imamul Haramain, Abul Ma’ali Juwaini dan Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali. Akan tetapi, ketaksuban agama yang telah menjadi suatu lambang bagi negara ini telah melenyapkan segala ilmu-ilmu yang ditulis oleh ulama’-ulama’ sunni dalam lapangan kajian Islam. Sejarah mencatatkan bahawa Ismail as-Safawi telah memusnahkan masjid-masjid sunni dan perkuburan mereka. Malah lebih dari itu, ia telah melampaui batas dalam menganiaya dan memaksa orang-orang sunni yang menolak kepercayaan syiah.

Negara Safawiah telah mencapai kemuncaknya pada zaman Syah Abbas as-Safawi 1588 – 1629 yang meminta bantuan Inggeris dan membangunkan untuk mereka pusat dan sarang-sarang di Iran. Antara penasihat-penasihatnya ialah Sir Antonely dan Sir Robert Cherlie. Syah Abbas mampu mencapai kemenangan-kemenangan menentang kerajaan Othmaniah ketika ia mengeksploitasi peperangannya bersama Austria dari satu pihak dan bantuan Inggeris kepadanya dari sudut kedua serta kelemahan dan huru-hara dalam kerajaan Othmaniah dari sudut ketiga.

Salah seorang anggota keluarga Syah Abbas I telah menyaksikannya lalu ia berkata : “Ekoran dari kemunculan orang-orang Portugis di kawasan itu, Iran telah memulakan hubungan-hubungan dagangan bersama Inggeris, Peranchis dan Holland. Hubungan-hubungan ini telah merintis perhubungan bertaraf diplomasi, kebudayaan dan agama ketika Syah Abbas I menaiki takhta Farsi pada 1578M dan mencatatkan perubahan-perubahan asas dalam negara dan hubungannya bersama barat. Antara hasil perubahan poitik yang diadakan oleh Syah Abbas selepas ia memuatkan dewannya dengan missionary, paderi-paderi, para pedagang, diplomat-diplomat, tentera dan petugas upahan ialah orang-orang barat telah membina gereja-gereja di Iran.

Orang-orang Safawi telah menukar haluan jemaah haji Iran dari Mekah ke Masyhad. Syah Abbas Safawi pernah pergi haji berjalan kaki dari Asfahan ke Masyhad sebagai menambahkan lagi sanjungannya bagi makam Imam Ali Redha sehingga tindakannya ini menjadi ikutan orang-orang Iran. Sejak zaman itu, Masyhad telah menjadi kota suci orang-orang syiah, Iran.

Rujukan Catatan :
Al-Imamiah ‘Inda ‘Ithna “Asyariyah : Dr. Salus
As-Syiah Wa Tashih : Dr. Musa al-Musavi
Muzkirah Muktamar Najaf : Abdullah as-Suweidi al-Abbasi

PERBEZAAN ANTARA AHLI SUNNAH DAN SYIAH

Al-Quran Al-Karim

Ahli Sunnah : Sepakat atas kebenarannya dan terpelihara dari sebarang tambahan dan kekurangan. Mereka beriman dengan setiap huruf darinya, dan mereka beriman bahawa sesungguhnya ia adalah kalam Allah Taala bukan baru dan bukan makhluk. Ianya terpelihara dari segala keburukan dan adalah menjadi sumber utama kepada setiap kepercayaan-kepercayaan muslimin dan urusan-urusan hidup mereka.

Syiah : Mereka meragui kebenarannya iaitu Al-Quran, ada yang telah ditambah dan dikurangkan. (Sebahagian dari mereka menafikan tuduhan ini tetapi kita tidak mungkin mengambil kira ke atas penafian tersebut dengan sebab iktikad mereka yang mengamalkan taqiyah). Jika berlawanan dengan iktikad, mereka mentafsirkan dengan iktikad mereka. Pendapat imam-imam mereka adalah antara sumber utama di sisi mereka.

Al-Hadith

Ahli Sunnah : Hadith adalah sumber kedua kepada syariat Islam dan ia adalah sebagai mentafsirkan Al-Quran. Adalah tidak dibenarkan melanggar hukum-hukum yang terdapat dalam hadith yang sahih riwayatnya dari Rasulullah saw. Kesahihan hadith ditentukan melalui kaedah-kaedah yang disepakati oleh ulama’-ulama’ hadith. Caranya ialah dengan mengkaji kebenaran riwayat sanad tanpa membezakan antara perawi lelaki dan perempuan. Tiap-tiap perawi hadith diketahui sejarah hidupnya. Segala ini dihasilkan dengan satu usaha yang paling terbesar pernah didapati dalam sejarah bidang ilmu. Hadith yang diriwayatkan oleh seorang pendusta atau seorang yang tidak dikenalpasti tidak diterima. Ini semua adalah kerana riwayat hadith adalah suatu amanah yang berat lagi mulia serta mengatasi segala-gala yang lain.

Syiah : Tidak berpegang melainkan dengan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh kaum keluarga Rasulullah saw dan sebahagian hadith-hadith yang diriwayatkan oleh penyokong-penyokong Ali dalam medan politik – dan mereka menolak hadith-hadith selain daripada ini terutama sekali kebanyakan hadith-hadith riwayat ahli sunnah. Mereka tidak mementingkan riwayat (sanad) yang sahih – iaitu tanpa ilmu hadith yang kukuh. Banyak sekali didapati mereka misalnya berkata : “Diriwayatkan dari Muhammad bin Ismail dari beberapa sahabat kami dari seorang lelaki dari Rasulullah saw bersabda…” Kitab-kitab mereka penuh dengan berpuluh-puluh ribu hadith yang tidak mungkin ditetapkan kesahihannya. Beginilah cara mereka membina agama mereka. Dengan cara begini juga mereka telah mengingkari lebih dari tiga perempat daripada Sunnah Nabi. Dan ini adalah perbezaan-perbezaan yang terpenting antara mereka dari golongan-golongan muslim.

Para Sahabat Rasulullah SAW

Ahli Sunnah : Sepakat atas wajib menghormati dan meredhai atas kesemua mereka. Sesungguhnya kesemua mereka adalah benar dan lurus. Ahli Sunnah menganggap bahawa pertelingkahan yang terjadi antara mereka adalah berpunca dari perselisihan pendapat hasil dari ijtihad masing-masing yang dikeluarkan dengan ikhlas dan kejujuran, serta segala keadaan yang mempengaruhi mereka berbuat demikian telah pun berlalu. Tidak dibenarkan kita menaruh dendam sepanjang zaman mereka. Sesungguhnya merekalah golongan yang dipuji Allah berkali-kali. Oleh itu, tidak dibenarkan sesiapa pun mencela mereka selepas daripada itu. Sesungguhnya melalui usaha mereka kesemualah agama Islam itu turun-temurun dari Rasulullah hingga sampai kepada kita.

Syiah : Berpendapat bahawa para sahabat sesungguhnya telah kafir selepas kewafatan Rasulullah saw kecuali sebilangan kecil yang bilangannya tidak melebihi bilangan jari-jari tangan. Mereka meletakkan Ali di tempat yamg terlampau istimewa. Sebahagian mereka berpendapat : bahawa dialah yang telah diwasiatkan sebagai pengganti Rasulullah saw. Sebahagian lain pula menganggapnya sebagai nabi dan ada yang menganggapnya sebagai tuhan. Mereka menghukum orang-orang muslim menurut pendapat-pendapat mereka masing-masing ; sesiapa yang memilih khalifah-khalifah sebelum Ali, maka ia zalim, atau kafir atau fasiq ; dan begitulah halnya dengan sesiapa yang menentang anak cucu-cicitnya turun-temurun.

Akidah Tauhid

Ahli Sunnah : Beriman bahawa sesungguhnya Allah yang Maha Esa, yang Maha Berkuasa. Tiada sekutu bagiNya dan tiada tolok bandinganNya serta tiada perantaran antaraNya dan hamba-hambaNya. Mereka beriman dengan ayat-ayat yang mengandungi sifat-sifat Allah sebagaimana ianya diturunkan oleh Allah tanpa menyerupai sesuatu (tidak ada sesuatu pun yang menyerupaiNya). Sesungguhnya Allah telah mengutuskan nabi-nabiNya dan memikulkan mereka dengan tanggungjawab menyampaikan perutusan itu (risalah) kepada hamba-hambaNya. Mereka telah menyampaikan kesemuanya tanpa menyembunyikan apa jua pun. Mereka beriman bahawa perkara ghaib hanyalah pada Allah sahaja. Sesungguhnya segala doa, nazar, penyembelihan dan permohonan (sesuatu hajat) wajib ditujukan kepada Allah semata-mata dan tidak sama sekali kepada yang lain dariNya.

Syiah : Mereka beriman dengan Allah dan keesaanNya, tetapi mereka telah mencampuradukkannya dengan amalan-amalan syirik. Mereka beribadat kepada selain dari Allah dengan berkata : “Wahai Ali, wahai Hussein, wahai Zainab”, serta bernazar dan bersembelih kepada yang lain dari Allah. Mereka meminta hajat dari orang-orang yang telah mati. Mereka mencipta banyak doa-doa dan bacaan-bacaan yang menguatkan amalan syirik ini. Mereka percaya bahawa imam-imam mereka adalah maksum dan bahawa imam-imam itu mengetahui perkara-perkara ghaib serta mempunyai peranan dalam mentadbirkan alam ini. Mereka menganggap bahawa ada suatu kuasa khas yang dimiliki oleh wali-wali, imam-imam dan kaum kerabat Rasulullah saw. Segala kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan ini tidak mempunyai asal dalam agama Islam yang suci.

Melihat Allah

Ahli Sunnah : Orang-orang yang beriman dapat melihat Allah pada hari Kiamat sepertimana firman Allah yang bermaksud : “Wajah-wajah yang pada hari itu berseri-seri melihat kepada Tuhan mereka.” ( al-Qiamah : 23).

Syiah : Berpendapat bahawa melihat Allah adalah tidak mungkin sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Perkara Ghaib

Ahli Sunnah : Allah mengkhaskan pengetahuan perkara ghaib pada diriNya sahaja dan sesungguhnya Ia memberitahu kepada nabi-nabiNya termasuklah Nabi Muhammad saw akan beberapa perkara ghaib untuk sesuatu keperluan yang tertentu sepertimana firman Allah swt yang bermaksud : “Mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki.” (Ayat kursi).

Syiah : Mendakwa bahawa pengetahuan tentang perkara ghaib adalah hak imam-imam mereka sahaja (dan tidak dari hak Rasulullah saw memberi khabar tentang ghaib). Dengan sebab ini terdapat beberapa golongan dalam syiah yang menganggap bahawa imam-imam mereka adalah tuhan.

Kerabat Rasulullah SAW

Ahli Sunnah : Mengatakan bahawa ahli Rasulullah saw adalah pengikut-pengikutnya dalam agama Islam (ini adalah pendapat mereka yang lebih sahih). Ada yang mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang paling bertaqwa di antara umatnya. Yang lain pula mengatakan mereka adalah sanak-saudaranya yang beriman dari Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib.

Syiah : Mengatakan bahawa ahli Rasulullah saw adalah menantunya Ali dan sebahagian dari anak-anak Ali sahaja, kemudian anak-anak serta cucu-cicit mereka-mereka sebelum ini.

Syariat Dan Hakikat

Ahli Sunnah : Berpendapat bahawa syariat adalah hakikat. Sesungguhnya Rasulullah saw tidak menyembunyikan apa jua ilmu yang diketahuinya dari umatnya, tidak ada sebarang kebaikan melainkan beliau telah membimbing kita kepadanya dan tidak ada sebarang kejahatan melainkan beliau telah memberi amaran kepada kita supaya menjauhinya. Sesungguhnya Allah Taala telah berfirman yang bermaksud : “Pada hari ini telah Ku sempurnakan bagi kamu agama kamu” (al-Maidah : 3). Juga sumber-sumber agama Islam adalah Al-Quran dan As-Sunnah yang tidak memerlukan kepada lain dari itu untuk menyempurnakannya. Cara-cara beramal, beribadat dan berhubungan dengan Allah adalah jelas dan terang tanpa sebarang perantaraan. Dan sesungguhnya Allah sahaja yang mengetahui hakikat hamba-hambaNya. Kita tidak menyanjungi sesiapa pun lebih dari sanjungan kita terhadap Allah. Setiap manusia harus diambil atau harus ditolak pendapat atau percakapannya kecuali Nabi kita saw yang maksum sahaja.

Syiah : Berpendapat bahawa syariat adalah hukum-hukum yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw dan hukum-hukum ini hanya melingkungi orang-orang awam dan orang-orang yang tiada berpengetahuan agama. Ada pun hakikat atau pun ilmu yang khas berkenaan Allah tidak diketahui kecuali imam-imam dari ahlul-bait (iaitu sebahagian dari kaum kerabat Nabi sahaja). Sesungguhnya mereka memperolehi ilmu-ilmu hakikat ini dengan cara warisan dari satu generasi ke generasi yang lain dan ia kekal sebagai rahsia di sisi mereka. Imam-imam mereka adalah maksum (terpelihara dari melakukan kesalahan) dan segala perbuatan mereka adalah syariat. Segala apa yang mereka lakukan adalah dibenarkan. Sesungguhnya perhubungan dengan Allah tidaklah sempurna melainkan dengan perantaraan iaitu melalui imam-imam mereka. Dengan itu mereka telah melibatkan diri kita dengan menamakan diri mereka dengan nama-nama yang keterlaluan seperti waliullah, babullah (pintu Allah), almaksum, hujjatullah (dalil Allah), ayatullah (tanda atau buku Allah). Ruhullah (ruh Allah) dan lain-lain lagi.

Feqah

Ahli Sunnah : Berpandukan dengan hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran Al-Karim dengan penuh teliti. Ini dijelaskan pula dengan kata-kata dan perbuatan Rasululllah saw menurut yang terdapat dalam sunnahnya dan juga dengan kata-kata para sahabat dan tabi’en yang dipercayai. Di atas kata-kata ini terletaknya penjelasan dari hukum-hukum itu – kerana mereka hidup dalam zaman yang paling hampir dengan zaman Raulullah saw dan mereka adalah orng-orang yang membenarkan Rasulullah saw ketika menghadapi ujian-ujian yang berat. Tiada siapa pun yang berhak untuk mensyariatkan sesuatu hukum dalam agama ini setelah Allah swt menyempurnakannya. Tetapi untuk memahami secara lebih mendalam, dan hukum perkara-perkara yang baru timbul serta hikmat-hikmat hukum tersebut, wajib merujuk kepada para ulama’ Islam yang dipercayai untuk mendapatkan fatwa dengan bersandarkan semata-mata kepada Al-Quran dan As-Sunnah sahaja dan tidak kepada yang lain.

Syiah : Mereka berpegang kepada sumber-sumber mereka yang khas yang dikaitkan dengan imam- imam mereka yang dianggap sebagai mujaddid dalam agama (pada setiap generasi) dan kepada apa yang ditafsirkan oleh imam-imam tersebut dari ayat-ayat Al-Quran. Mereka berpendapat bahawa para-para imam yang mujtahid (dibolehkan membuat ijtihad) dan maksum mempunyai hak dalam memperbaharui hukum-hukum – seperti yang sebenarnya telah terjadi dalam perkara-perkara berikut :
1) dalam azan : waktu-waktu, rupa-bentuk dan cara sembahyang.
2) waktu-waktu berpuasa dan berbuka.
3) pekerjaan-pekerjaan haji ziarah.
4) dalamperwarisan harta .
5) dalam nikah dan hubungan suami isteri.
Mereka sangat cenderung dalam hukum-hukum yang berlawanan dengan ahli sunnah dan sentiasa berusaha meluaskan jurang perbezaan antara mereka dan ahli sunnah.

Kesetiaan (al-Wala’)

Ahli Sunnah : Kesetiaan atau al-wala’ adalah mengikut perintah dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi. Kesetiaan begini tidaklah di berikan kecuali kepada Rasulullah saw kerana Allah Taala telah berfirman yang bermaksud : “Barang siapa yang mentaati Rasul, maka dia telah taat kepada Allah” (an-Nisa’: 74). Adapun orang-orang lain tidaklah berhak untuk diberikan kesetiaan kecuali menurut batasan-batasan yang telah ditentukan oleh hukum syara’. Ini adalah kerana manusia tidak boleh taat kepada makhluk jika perbuatan itu melibatkan maksiat terhadap Allah.

Syiah: Berpendapat bahawa kesetiaan yang tidak berbelah bagi adalah salah satu daripada rukun iman. Wajib bagi mereka beriman kepada imam-imam mereka yang dua belas (termasuk “penghuni Sirdab “ iaitu menurut kepercayaan mereka ; imam mereka yang kedua belas yang telah ghaib dan akan keluar sebagai imam Mahdi). Maka sesiapa yang tidak berimamkan kepada ahlul-bait adalah dianggap tidak beriman. Oleh itu, tidak boleh bersembahyang di belakang mereka sebagai imam dan mereka tidak berhak diberi zakat yang wajib dikeluarkan tetapi boleh diberikan sedekah-sedekah yang biasa dikeluarkan seperti kepada orang-orang kafir.

At-Taqiyah

Ahli Sunnah : “At-Taqiyah” ialah melakukan sesuatu yang berlawanan dengan kebenaran hati demi untuk menyelamatkan dirinya dari kebinasaan. Adalah tidak dibenarkan pada seseorang muslim memutar-belit saudara–saudara muslim yang lain dengan kata-kata ataupun perbuatan berpura-pura kerana Nabi saw telah bersabda dengan bermaksud: “Sesiapa yang menipu, maka dia bukan dari golongan kami”. Tidak dibenarkan bertaqiyah melainkan kepada orang-orang kafir yang bermusuhan dengan agama dan dalam peperangan sahaja – memandangkan bahawa peperangan adalah satu tipu helah. Wajib ke atas orang muslim berkata benar dan berani dalam menegakkan yang hak tanpa berbalah, berbohong dan membelot ; bahkan hendaklah menasihati dan mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.

Syiah : Mereka kesemuanya berpendapat bahawa taqiyah itu adalah wajib dan mazhab mereka adalah didirikan dengan taqiyah. Mereka mencantumkan prinsip taqiyah itu secara rahsia dan terang-terangan dan mengamalkannya terutama sekali apabila mereka menghadapi kesukaran. Maka ketika tu mereka akan memuji-muji dan mengangkat–angkat dengan berlebihan orang-orang yang pada pandangan mereka adalah kafir dan berhak dibunuh serta dibinasakan. Mereka melaksanakan hukum-hukum yang dilaksana ke atas orang kafir kepada sesiapa sahaja yang bukan dari golongan mereka. Mereka mengamalkan prinsip “matlamat menghalalkan cara”. Dengan ciptaan ini mereka bebas menghalalkan segala cara tipu daya, pembohongan dan putar belit.

Pimpinan Dan Ketua Negara

Ahli Sunnah : Berpendapat bahawa sesebuah negara Islam itu diperintah oleh seorang khalifah yang dipilih antara orang-orang muslim. Disyaratkan agar khalifah itu mempunyai kebolehan yang mencukupi iaitu seperti seorang yang berakal, berada di atas jalan yang lurus, berilmu dan diketahui ramai akan kebolehan dan amanahnya serta kebolehan dalam memikul tanggungjawabnya. Ia dipilih hanya oleh dan dari orang-orang yang mempunyai kuasa memilih dalam masyarakat muslimin dan mereka melucutkan kekhalifahannya jika didapati ia tidak berlaku adil atau keluar dari hukum-hukum Al-Quran dan As-Sunnah. Semua muslimin wajib taat kepadanya dan kekuasaan memerintah pada sisinya mestilah dianggap sebagai satu tanggungjawab dan satu perkara yang akan dipersoal (oleh Allah dan kaum muslimin) dan bukanlah satu kemuliaan atau hasil keuntungan.

Syiah : Kuasa pemerintahan adalah warisan turun-temurun untuk Ali dan anak-anak Fatimah. Terdapat perselisihan pendapat yang banyak antara mereka berkenaan warisan ini. Dengan pendapat mereka yang sebegini cara, mereka sama sekali tidak melantik seorang pemerintah yang bukan dari keturunan Ali. Tetapi, apabila kehendak dan harapan mereka ini tidak dapat dipraktikkan atau dilaksanakan apabila keturunan Ali ini terputus dengan sebab kematian Muhammad al-Mahdi, imam mereka yang kedua belas yang wafat semasa kecil lagi (semasa berumur 8 bulan atau 2 atau 5 tahun ; mereka telah mencipta satu pendapat baru iaitu pendapat “ar-raj’ah” atau “kembali semula”). Maksud mereka ialah imam mereka yang terakhir dan digelar “al-Qaaem” yang mati semasa kanak-kanak ini akan datang kembali pada akhir zaman. Beliau akan keluar dari “Gua as-Sirdab” lalu menyembelih kesemua pihak lawan politiknya. Menurut mereka lagi, imam ini akan mengembalikan hak-hak golongan syiah yang telah dirampas dari mereka oleh golongan-golongan lain sepanjang kurun-kurun yang telah lalu.

(Al-Khututul Aridhah : Muhibbuddin al-Khatib)

Demikianlah secara ringkas perbezaan antara iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah. Sudut-sudut perbezaan ini amat penting untuk diketahui serta difahami dengan sebaik-baiknya dalam membuat penilaian atau hukuman terhadap syiah. Sebenarnya masih banyak lagi di sana perbezaan-perbezaan kecil dalam kepercayaan syiah yang tidak terdapat dalam kepercayaan ahli sunnah seumpama raj’ah, bida’ dan lain-lain lagi. Sudut-sudut perbezaan antara kedua belah pihak ini merupakan perkara terpenting yang perlu dihalusi bagi sesiapa yang melaungkan seruan ke arah pendekatan antara Sunni dan Syi’e agar tidak tersilap dalam mengatur langkah merealisasikan perpaduan ummah.


BAHAN RUJUKAN UNTUK SYIAH

Di bawah ini disenaraikan beberapa nama pengarang bersama kitab-kitab karangan mereka dalam bidang aqidah, tafsir, hadith, sejarah dan lain-lain. Bibliografi nama-nama pengarang dan buku ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu syiah dan sunni. Ia merupakan antara puluhan malah ratusan rujukan yang berkaitan dengan persoalan pegangan syiah.


Ardabih : Kasyful Ghummah
Baqir Al-Majlisi : Hayatul Qulub, Biharul Anwar, Jila’ul Uyun
Bahrani : Syarh Nahjul Balaghah
Halli : Minhajul Karamah
Ibnul Hadid : Syarh Nahjul Balaghah
Khomeini : Kasyful Asrar, Hukumat Islamiah, Tahrirul Wasilah
Safaraini : Lawami’ Anwar Bahiyyah, Tarikh Syiah wa Aslafihim
Nu’mani : Al-Faruq (Urdu’)
Syaukani : Nailul Autar
Qazuwaini Al-Ha’iri : Fadak
Syustari : Ihqaqul Hak
Tusi : Al-Tibyan, Al-Tahzib, Al-Istibsar
Tabrasi : Al-Ihtijaj, I’lamul Wara, Faslul Khitab, Mujma’ Bayan
Mamaqani : Miqyasul Hidayah Fi Ilmi Dirayah
Iyashi : Tafsir ‘Iyasyi
Qomni : Tafsir Qomni
Qomni As-Saduq : Man La Yahdhurul Faqih, Kitabul khisal, Al-Amali
Kulaini : Raudhatul Kafi, Al-Kafi, Usul Kafi ( اصول الكافى)
Kasyi : Makrifah Akhbar Rijal
Kasyani : Tafsir As-Safi
Kasyiful Ghita’ : Aslu Syiah wa Usuluha
Muzaffari : Tarikh Syiah, Al-Imam Sadiq
Musa Jarullah : Al-Wasyi’ah Fi Naqd Aqa’id Syiah
Musa Aqabah : Maghazi ( المغازى )
As-Sadr : Tarikh Ghaibah Sughro ( تاريخ الغيبة الصغرى )
Mufid : Al-Irsyad
Musa Musavi : Iran Fi Rubu’ Qarn, As-Syiah wa Tashih
Nobakhti : Firaqus Syiah ( فرق الشيعة )
Jazairi : Anwar Nu’maniah ( الانوار النعمانية )
Sunni
Ibnu Athir : Al-Kamil Fi Tarikh
Ihsan Ilahi Zahir : As-Syiah wa Tasyaiyu’, As-Syiah wa Ahlul-bait
Abu Zuhrah : Tarikh Mazahib Islamiah, Usul Feqh Jaafari
Ahmad Syalabi : Mausu’ah Tarikh Islami wal Hadharah Islamiah
Al-Birr: As-Syiah Ithna ‘Asyariah
Baghdadi : Al-Farqu Bainal Firaq
Baihaqi : Tarikh Baihaqi
Ibnu Taimiah :Al-Muntaqa, Minhajus Sunnah, Ahkam ‘Usatul Mukminin
As-Subki : Tabaqat As-Syafi’iyah Kubro
Ibnu Hazm : Al-Fasl Fil Milal wal Ahwa’ wal Nihal
Ibnu Khaldun : Al-Muqaddimah, Al-‘Ibar
Al-Khatib : Al-Khututul ‘Aridhah
As-Suyuti : Tarikh Khulafa’
As-Salusi : Al-Haqaiqul Ghai’bah
Syahristani : Al-Milal wan Nihal
Dahlawi : Mukhtasar Tuhfah Ithna ‘Asyariah
At-Tabari : Tarikh Umam wak Muluk
Ibnu Abdul Bir : Al-Isti’ab Fi Makrifatil Ashab
Ibnu Asakir : Tarikh Dimasyq
Ibnu Al-Arabi : Al-‘Awasim Minal Qawasim
Ibnu Hajr Asqalani : Al-Isabah Fi Tamyiz Sahabah
Al-Gharib : Wa Ja’a Daurul Majus, Khomeini Baina Tatoruf Wa I’tida’
Ibnu Qutaibah :Al-Imamah wa Siasah
Al-Qusyairi : Qamus Ar-Rijal
Al-Qurtubi : Tafsir Qurtubi
Ibnu Kathir : Al-Bidayah Wal Nihayah, Ikhtisar Ulum Hadith
Malul Llah : As-Syiah wa Takriful Quran, Mauqif Syiah min Sunnah
Mustafa Helmi : Nizam Al-Khilafah Baina Ahli Sunnah wa Syiah
A. Hamid Al-Maqdis:Ar-Raddu Ala Rafidhah ( الرد على الرا فضة )
An-Nawawi : Fatawa Imam Nawawi
An-Najrami : As-Syiah Fil Mizan

MUSLIMKAH SYIAH ?

Suatu persoalan barangkali telah terjawab secara umum dari fasal-fasal yang lepas tetapi perkara itu perlu kepada beberapa perincian yang lebih detail. Kita telah menjelaskan pada setiap fasal mengenai hak dan kewajipan syiah. Tinggal lagi menanya diri kita, ke tahap manakah Syiah boleh dipanggil dengan nama Islam?

Menjawab persoalan seumpama ini amat sulit sekali. Akan tetapi, kita akan cuba mencari jalan penyelesaian. Sekiranya benar, ianya adalah taufiq dari Allah dan jika sebaliknya, kita berharap ianya tidak terluput dari ganjaran ijtihad. Syiah itu ada dua bahagian : Syiah dalam sejarah dan syiah masakini. Syiah dalam sejarah, adalah kelompok-kelompok terdahulu yang telah kita sebutkan dalam fasal bahagian dan kelompok-kelompok syiah yang tidak syak lagi kebanyakannya adalah melampau dan kita tidak dapat menghukumkan dengan keislaman lebih dari kelompok-kelompok ini.

As-Sabaiah yang telah dibakar oleh Ali r.a kerana mereka menuhankannya dan membuang pemimpin mereka ke Sabat di Madain. Al-Bayaniah yang dikaitkan dengan Bayan bin Sa’an Tamimi dan mereka yang mengatakan kenabian Ali r.a yang kononnya telah membatalkan syariat Muhammad saw. Di antara mereka mendakwa ketuhanan dan kesatuan zat Allah dalam tubuh Ali. Al-Mughirah, Al-Harbiah dan Al-Mansuriah dari Janahiah dan Khitabiah : semua mereka terkeluar dari lingungan Islam. Begitu juga Al-Ghurabiah, Al-Mufawidhah. Az-Zimmiah, As-Syari’iah, An-Namiriah dan selain mereka adalah dari kelompok-kelompok Syiah. Kita tidak menghukum keislaman mereka sekalipun mereka dikaitkan dengan Islam. Kelompok-kelompok ini keseluruhannya telah pupus. Tidak wujud di muka bumi ini – sepanjang pengetahuan kita – orang yang menganut Islam secara terang-terangan mengucapkan ungkapan-ungkapan ini. Kelompok-kelompok ini semuanya dalam hukuman sejarah. Mereka ini telah menyebabkan perlakuan itu dan akan diperhitungkan oleh Allah swt dengan balasan yang setimpal. Mereka-mereka ini kita namakan dengan “syiah sejarah”.

Manakala syiah masakini, mereka adalah saki-baki dari kelompok-kelompok yang kita sebutkan, yang masih kekal sehingga hari ini. Ia merupakan kelompok besar, yang terkenal iaitu Zaidiah dan Imamiah. Kebanyakan ahli-ahli sejarah menganggap mereka ini dari kalangan orang Islam terutamanya Zaidiah. Mereka lebih hampir kepada kepercayaan-kepercayaan Ahli Sunnah serta feqh mereka. Perselisihan di antara Zaidiah dan Ahli Sunnah hanya dalam masalah-masalah kecil. Demikian juga Imamiah Ithna ‘Asyariah dan Ismailiah, usul-usul mereka adalah satu sekalipun berbeza furu’-furu’ dari satu kelompok dengan yang lain.

Tetapi hukum am ini tidak semestinya bermakna setiap individu adalah Islam, bahkan mereka adalah Islam secara umumnya kecuali sesiapa yang telah sabit mengucapkan seumpama ucapan-ucapan pelampau yang menuhankan Ali atau menyfatkan imam-imam mereka dengan sifat Allah atau mengatakan penyelewengan Al-Quran atau pembatalan syariat atau hulul dan lain-lain lagi. Orang seumpama ini dihukumkan kafir dan terkeluar dari lingkungan Islam tanpa mengira siapa yang mengucapkannya. Kita tidak mencipta hukum ini dari fikiran kita, malah inilah yang diperkatakan oleh kebanyakan ahli-ahli sejarah ketika mereka membahagikan antara golongan pelampau dan selain mereka. Seandainya hukum itu disatukan untuk semua kelompok, tentulah pembahagian ini tidak diperlukan. Imam Abdul Qahir bin Tahir Bahgdadi di dalam Al-Farq Bainal Firaq berkata : (ms 21) “…Semua kelompok-kelompok pelampau itu terkeluar dari kelompok Islam, manakal kelompok Zaidiah dan Imamiah masih dikira dalam kelompok umat Islam.”

Pun begitu, kebanyakan pendapat-pendapat ulama’ Syiah adalah sesuatu yang tidak mungkin seorang muslim sunni berakal menerimanya. Puncanya kerana ulama’-ulama’ mereka tidak warak dalam mencipta hadith-hadith yang menyokong pendapat-pendapat mereka atau menjelekkan peristiwa-peristiwa sejarah Islam serta menukar situasi-situasinya mengikut selera nafsu mereka.

Golongan Zaidiyah

Perbincangan di sini tidak melibatkan golongan Zaidiyah. Fahaman golongan ini adalah berbeza dari golongan syiah lain yang lebih melampau darinya. Oleh sebab itu, hukuman ahli sunnah terhadap golongan Zaidiyah adalah lebih ringan dari puak-puak syiah yang lain. Namun begitu, ini tidaklah bermakna bahawa tiada terdapat perbezaan asasi antara golongan Zaidiyah dan ahli sunnah. Ia masih dianggap terkeluar dari golongan ahli sunnah walaupun ia tidak dianggap terkeluar dari agama Islam jika dibandingkan dengan pendapat Imam Malik, Ibn Hazm, Al-Alusi dan lain-lain ke atas golongan Imamiah dan selainnya yang lebih melampau.

Ppenerangan ringkas mengenai golongan Zaidiyah adalah untuk mengelakkan kekeliruan yang sering didengari di kalangan masyarakat muslimin berkenaan kenyataan-kenyataan berikut :

“Kita tak boleh nak tolak semua orang syiah…Ada juga golongan yang dekat dengan ahli sunnah…Contohnya…golongan Zaidiyah…”
Kenyataan-kenyataan ini benar-benar sesuai sekali denagn perkataan Saidina Ali (dalam menjawab tuduhan puak Khawarij terhadapnya) iaitu :
( كلمة حق اريد بها الباطل )
Bermaksud : “Kenyataan yang hak (benar) tetapi yang dimaksudkan darinya adalah kebatilan”. Dengan kata lain perkataan, memanglah secara zahirnya kenyataan di atas tadi adalah betul. Tetapi orang-orang yang mengeluarkan kenyataan itu adalah bertujuan untuk menggunakan kebenaran kenyataan itu berkenaan golongan Zaidiyah sebagai dalil supaya kita menerima golongan-golongan syiah yang lain!! Golongan Zaidiyah mempunyai perbezaan jauh dari golongan Imamiah. Dan majoriti golongan syiah di Iran sekarang adalah golongan Imamiah.

KHOMEINI : SIAPAKAH BELIAU SEBENARNYA ?

Kajian terhadap pendapat-pendapat Imam Khomeini melalui buku-buku karangannya memberikan kita suatu idea dengan sejelas-jelasnya tentang aqidah, pemikiran dan ketaksubannya yang kuat kepada mazhabnya. Khomeini telah menyeru kepada sebuah kerajaan Islam Syiah dan tidak mahu bekerja sama dengan ahli sunnah sama sekali ; malah dia mempunyai rasa irihati dan benci kepada mereka. Kita akan menyentuh di sini pendirian Khomeini tentang aqidah syiah sepintas lalu melalui buku-bukunya.

Keterlaluan Khomeini Terhadap Imam-imam

Imam Khomeini tidak jauh berbeza dari ulama’-ulama’ syiah yang lain tentang imam-imam di mana dia berpendapat kedudukan mereka tidak kurang dari kedudukan uluhian sedangkan para anbiyak, rasul-rasul dan malaikat tidak sekali-kali mencapai taraf imam-imam itu seperti katanya : “Antara kemestian mazhab kita ialah bahawa imam-imam kita mempunyai kedudukan yang tidak boleh dicapai oleh malaikat muqarrabin dan nabi yang diutus.” [Hukumat Islamiah]. Tersebut juga dalam buku yang sama : “ajaran-ajaran para imam itu adalah seperti ajaran-ajaran Al-Quran yang tidak berakhir pada generasi tertentu, tetapi ia adalah untuk semua pada setiap zaman hingga hari kiamat dan wajib dilaksana serta diikuti.” [Hukumat Islamiah]

Khomeini berpendapat bahawa imam-imam itu adalah cahaya sebelum mereka dicipta dan melingkungi arasy Ilahi ketika dia mengatakan : “Menurut kehendak riwayat-riwayat dan hadith-hadith pada kita, bahawa Rasulullah saw dan para imam a.s adalah cahaya, lalu Allah menjadikan mereka melingkungi arasyNya dan menjadikan untuk mereka darjat yang tidak diketahui kecuali Allah.” Dia juga mempercayai bahawa para imam itu tidak mungkin lupa dan lalai seperti katanya : “Kami tidak dapat menggambarkan pada mereka kealpaan dan kelalaian.” [Hukumat Islamiah]

Pendirian Khomeini Terhadap Al-Quran :

Syiah telah berijma’ berlakunya penyelewengan di dalam Al-Quran dalam semua bentuknya sama ada dari sudut lafaz, makna atau i’rab. Begitu juga Khomeini tidak jauh berbeza dengan mereka dalam mengambil pendiriannya terhadap Al-Quran. Buktinya ialah pengakuannya yang nyata di dalam buku bertajuk : “Tuhfatul ‘Awwam Maqbul Jadid”, ia telah melemparkan tuduhan penyelewengan kepada Abu Bakar dan Umar r.a, kononnya kedua-duanya melakukan pekerjaan keji itu seperti yang tersebut di awal buku tersebut : “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah, laknatilah kedua berhal Quraisy (Abu Bakr & Umar), jubah, taghut, pendustaan dan kedua anaknya yang melanggar perintahMu, mengingkari wahyuMu, menderhakai rasulMu, memutarbelitkan agamaMu dan menyelewengkan kitabMu (Al-Quran).”

Buku yang tersebut di atas adalah suatu ungkapan dari pengakuan-pengakuan jelas yang dilakukan oleh sekumpulan “ayatollah-ayatollah” terhadap penyelewengan di dalam Al-Quran. Nama Khomeini juga tertera sama di dalam buku itu. Tambahan pula, Khomeini memendam suatu penghormatan yang besar kepada sebahagian ulama’-ulama’ syiah seperti as-Safi dalam tafsirnya. At-Tabrasi juga serupa dengan pengarang al-Kafi dalam kepercayaan ini. Ibnu Babuwaih terkenal dengan “as-Saduq” menyebutkan di dalam bukunya “al-Khisal”; Akan datang pada hari Kiamat tiga perkara mengadu kepada Allah iaitu mashaf, masjid dan ‘itrah (ahlul-bait). Mashaf pun berkata, “Wahai Tuhanku, mereka bakar dan merobek-robekku.”

Dalam nas ini, suatu isyarat yang jelas bagi i’tikad syiah pada Al-Quran. Tersebut di tempat lain dalam buku yang sama : Tiga perkara yang akan mengadu kepada Allah swt, masjid usang yang tiada orang bersembahyang di dalamnya, seorang alim di kalangan orang-orang jahil dan mashaf yang tergantung yang berdebu dan tidak dibaca.” Kesemua ini menjelaskan dakwaan syiah bahawa mashaf yang ada pada masakini bukanlah mashaf yang ada pada Ali ketika dia menyerahkannya kepada Abu Bakar r.a selepas kewafatan Nabi saw tetapi ia menolaknya sama sekali seperti yang tersebut di dalam dongengan-dongengan mereka.

PENDIRIAN KHOMEINI TERHADAP AHLI SUNNAH

Syiah memandang bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak ada tempat dalam Islam dan mereka adalah murtad dan puak perampas. Dari situ, mereka menghalalkan diri mereka mengecam ahli sunnah. Cacian dan makian terhadap sunni menurut mereka telah menjadi suatu amalan terpuji dan amalan taqarrub. Ia seperti yang dikatakan oleh Al-Kisyi yang dinukilkan dari Abu Jaafar mengenai hal sahabat-sahabat Nabi saw : “Bahawa mereka telah murtad dari Islam (Na’uzubillah) kecuali tiga orang iaitu Miqdad bin Aswad, Abu Zar ghifari dan Salman Al-Farisi.” Tersebut dalam buku yang sama nukilan dari Abu Jaafar, katanya : “Kaum Muhajirin danAnsar telah keluar kecuali – lalu dia mengisyaratkan tangannya - kecuali tiga.” Tersebut dalam satu riwayat lain dari Musa bin Jaafar iaitu imam maksum ketujuh di sisi syiah – katanya : “Apabila berlaku kiamat, seorang penyeru memanggil : Di mana hawari (penolong) Muhammad bin Abdullah Rasulullah yang tidak mencabuli perjanjiannya? Lalu bangkitlah Salman, Miqdad dan Abu Zar.” Khomeini tidak berbeza dalam aqidah ini tentang imam-imam dan ulama’-ulama’ mereka di mana dia telah mencaci sahabat-sahabat Nabi saw secara khusus dan golongan sunni lain secara umum seperti yang disaksikan oleh buku-bukunya.

Sebelum kita menyebutkan pandangan Khomeini terhadap ahli sunnah melalui buku-bukunya, seharusnya kita melihat kepada istilah nawasib yang direka oleh ulama’-ulama’ syiah terhadap ahli sunnah wal jamaah, digelarkan kepada setiap individu yang merestui pendahuluan syeikhain (Abu Bakar dan Umar) dalam wilayah ke atas Ali bin Abu tAlib r.a seperti yang tersebut dalam “wasail” pada takrif Nasibi. Hasyim Husaini Al-Bahrani yang dianggap di antara ulama’ dan ahli hadith syiah besar berpendapat memadai membenci Ali dan anak-anaknya dengan mendahulukan orang lain bersama wala’ ke atas mereka. Nah, jelas bahawa istilah nawasib itu dikhususkan kepada setiap individu yang mengingkari salah seorang imam mereka atau menolak pengambilan dari mereka melalui “Al-Kafi” dan selainnya. Dia tidak syak lagi termasuk dalam nawasib. Khomeini telah melahirkan kebencian dan kemarahannya terhadap golongan nawasib dan menganggap mereka dari orang yang terkutuk dan dimurkai serta halal dirampas hartanya. Sembelihan nawasib adalah haram seperti yang tersebut dalam bukunya “Tahrirul Wasilah” kerana katanya : “Halal sembelihan semua puak-puak Islam kecuali nasib (puak perampas) sekalipun mereka menzahirkan Islam.” [Tahrirul Wasilah]

Dia berkata : “Jika seorang kafir sejati melepaskan mana-mana anjing untuk buruan atau sesiapa yang sehukum dengannya seperti nawasib – semoga Allah melaknati mereka – tidak halal apa yang dibunuh.” Dia berkata : “Tidak boleh menyembahyangkan orang kafir dengan segala bahagiannya hinggakan orang murtad dan sesiapa yang dihukumkan kafir dari kalangan orang Islam seperti nawasib dan khawarij.”

Khomeini berpendapat penghalalan harta nasibi, kerana katanya : “Pendapat terkuat ialah memasukkan nawasib bersama ahli harb dalam penghalalan harta rampasa mereka dan seperlima darinya ; bahkan yang zahir harus mengambil hartanya di mana saja ia berada.” Manakala dakwaan Khomeini bahawa nawasib dari golongan terkutuk. Ini teksnya : “Adapun golongan nawasib dan khawarij, semoga Allah melaknat mereka, kedua-duanya adalah najis.”

Perkataan-perkataan ini menjelaskan kepada kita pendirian Khomeini yang didokong terjadap ahli sunnah wal jamaah. Ia bertentangan dengan semangat Islam dan kemanusiaan sehingga kalau pun dia berpura-pura mengumumkan kedua-duanya itu sebagai taqiyyah, tetapi penulisannya tentang ahli sunnah wal jamaah ini akan mendedahkan tembelangnya kepada orang ramai.

Khomeini Dan Khurafat

Khomeini banyak menjelaskan amalan-amalan khurafatnya khasnya di kubur-kubur imam-imamnya dalam kitab “Tahrir al-Wasilah”. Antara contoh-contoh kenyataannya ialah :
• Dikecualikan dari tanah – iaitu yang diharamkan memakannya – tanah kubur Saidina Abu Abdullah Al-Hussein a.s untuk menyembuhkan penyakit. Tidak dibenarkan memakannya dengan benda lain. Tidak juga boleh makan lebih dari kadar yang patut. Dan tidak boleh mencampurnya dengan tanah dari kubur yang lain termasuk kubur Nabi saw dan imam-imam a.s (Jld.1, Hal.149).
• Sebaik-baik – iaitu masjid – ialah masjid al-Haram, kemudian masjid an-Naba saw, kemudian masjid al-Kufah dan masjid al-Aqsa. (Jld.1, Hal.152).
• Tidak menjadi halangan bersembahyang di belakang kubur imam-imam dan di sebelah kanan atau kirinya. Yang paling utama ialah bersembahyang di sisi kepalanya tetapi tidak menyamai (saf) imam tersebut a.s (Jld.1, Hal.165).
• Dan sunat sembahyang di kubur-kubur imam-imam a.s terutama sekali di kubur Amir al-Mukminin a.s dan Abu Abdullah al-Hussein a.s (Jld.1, Hal.152).

Khomeini Dan Masalah-masalah Feqh

Adalah maklum bahawa sekiranya pegangan aqidah tidak betul, maka ini akan membawa kepada penyelewengan dalam masalah-masalah yang lain termasuklah masalah feqh. Buktinya ialah contoh-contoh dari kenyataan-kenyataan Khomeini yang dipetik dari kitabnya “Tahrir al-Wasilah” seperti berikut :
• Air istinjak sama ada dari air kencing atau ketul najis adalah suci (Jld.1, Hal.16).
• Adalah haram kepada seorang dalam junub bersembahyang apa jua jenis sembahyang melainkan sembahyang jenazah (Jld.1, Hal.38).
• Pendapat yang masyhur dan lebih kuat adalah dibolehkan bersetubuh dengan isteri ke dalam duburnya (Jld.1, Hal.24).
• Wajib sembahyang Jumaat pada zaman ini, dan dipilih antara sembahyang Jumaat atau sembahyang Zohor. Sembahyang Jumaat adalah lebih afdhal dan sembahyang Zohor lebih dari kedua-duanya (Jld.1, Hal.231).
• Tidak boleh bersetubuh dengan isteri sebelum cukup umurnya sembilan tahun. Tetapi kenikmatan-kenikmatan yang lain seperti meraba dengan syahwat, peluk dan dakap adalah dibenarkan walaupun masih menyusu lagi (Jld.2, Hal.241).
• Dibenarkan nikah mut’ah (iaitu nikah yang dipersetujui oleh lelaki dan si perempuan mengikut tempoh yang ditentukan) dengan perempuan zina (Jld.2, Hal.292).
• Dibenarkan mensyaratkan kepada si perempuan (dalam nikah mut’ah) dan si lelaki persetubuhan waktu malam sahaja atau waktu siang sahaja. Juga dibenarkan mensyaratkan persetubuhan sekali sahaja atau beberapa kali dengan menerangkan jangka masa yang tertentu (Jld.2, Hal.291).
• Dalam kitab an-Nihayah (hal.489) oleh At-Tusi pula dinyatakan bahawa tidak disyaratkan atas mereka nikah mut’ah sebarang saksi atau iklan (memberitahu orang lain). Dan tidak disyaratkan seorang lelaki menanyakan sama ada perempuan itu mempunyai suami atau tidak. Dan dibenarkan menikahi tanpa izin ayahnya.

Fatwa Syeikh Albani Terhadap Imam Khomeini

Syeikh Mohamed Nasiruddin Albani telah berfatwa bahawa Khomeini kafir, dengan lima asas yang keluar dari lisannya sendiri yang menunjukkan kekufurannya. Antara lain ;
1. Wahyu masih lagi turun kepada Siti Fatimah selama 75 hari selepas Nabi saw wafat.
2. Nabi Muhammad saw tidak berjaya dalam tugas kerasulannya.
3. Imam Mahdi yang akan muncul nanti ialah orang yang berjaya dengan risalah.
4. Para imam mengetahui segala-galnya tiada lupa dan lalai.
5. Mengkufur-kafirkan Abu Bakar dan Umar dengan julukan dua berhala Quraisy.

Hujah-hujah Syiah : Sejarah, imamiah, hadith dan lojik

Sekiranya anda menatapi buku-buku atau kitab-kitab syiah, anda akan mendapati pokok perbincangannya lebih tertumpu kepada noktah-noktah sejarah Islam khususnya selepas kewafatan Rasulullah saw. Fakta-fakta sejarah yang dibawakan oleh mereka lebih bercirikan politik iaitu soal pengganti atau khilafah selepas Nabi saw. Ianya diselangi bersama riwayat-riwayat yang menunjukkan bahawa khilafah imam-imam mereka adalah secara nas Ilahi dan bukan masalah ijtihadi atau pilihan syura. Meskipun banyaknya riwayat-riwayat hadith mengenai nas khilafah ahlul-bait, ianya tidak lebih dari riwayat-riwayat yang lemah atau tidak nyata. Mereka cuba memberikan takwilan-takwilan yang lojik untuk menyesuaikan pendapat mereka mengenai nas khilafah. Melalui fakta-fakta penulisan mereka yang disulami dengan berbagai andaian-andaian yang jauh, pembaca seolah-olah diajak meragui kejujuran para sahabat r.a dan keikhlasan mereka.

Selanjutnya, para sahabat Nabi saw mulai dikritik, malah lebih dari itu dicaci-maki dengan tuduhan-tuduhan kufur, fasiq, khianat, perampas dan lain-lain. Dengan jatuhnya thiqat dan autoriti para sahabat r.a yang menjadi penyambung-penyambung risalah Islam, mereka – golongan syiah – dengan sewenang-wenangnya menolak segala hadith-hadith dari ahli sunnah. Selanjutnya Al-Quran juga turut sama diragui kenenarannya. Bukankah noktah-noktah sejarah yang dijadikan batu loncatan syiah ini menjadi senjata yang paling berbahaya untuk menikam umat Islam. Tatapilah helaian-helaian buku al-Murajaat karangan Abd. Hussein al-Musavi, bagaimana dia mempermainkan fakta-fakta sejarah sekitar detik-detik sebelum kewafatan Nabi saw dan selepasnya?? Dia mendakwa kononnya kenyataan-kenyataan rekaannya itu diterima bulat-bulat oleh bekas Rektor al-Azhar Syeikh Salim al-Bisyiri dalam muzakarahnya.. Tetapi ternyata menurut kajian Dr. Ahmad as-Salus bahawa fakata-fakta Syarafuddin al-Musavi mengenai pertemuannya dengan Syeikh Al-Bisyiri telah diputarbelitkan. Buku al-Murajaat yang kini telah pun diterjemahkan ke bahasa Indonesia telah pun ada dalam pasaran buku di Malaysia. Sesiapa yang membaca buku ini tanpa memiliki latar belakang pengetahuan agama yang kukuh, sudah pasti ia terpengaruh. Ataupu lebih parah lagi bertukar kepada mazhab syiah Imamiah…

PENDEKATAN ANTARA SUNNI DAN SYI’E

Pendekatan di antara orang-orang Islam dalam pemikiran, citarasa, arah haluan dan matlamat-matlamt mereka adalah seagung-agung matlamat Islam dan agen-agen kuasa, pemnbangunan dan reformasi terpenting. Ia merupakan kebaikan bagi bangsa-bangsa dan kesatuan mereka dalam setiap masa dan tempat. Seruan ke arah pendekatan ini, jika ianya bersih dari sebarang kepentingan dan tidak mendatangkan bahaya yang mengatasi manfaat yang diharapkan, maka seharusnyalah setiap muslim menyahutnya dan bekerjasama bersama orang-orang Islam dalam menjayakannya.

Berbagai usaha untuk pendekatan antara ahli sunnah dan syiah telah dilakukan sepanjang sejarah, namun keadaan tetap tidak berubah. Ratusan buku dan kitab ditulis oleh ulama’-ulama’ kedua belah pihak. Pun begitu, pengikut-pengikut kedua belah pihak tidak pernah berganjak dari pegangannya. Usaha-usaha pendekatan pernah cuba dilakukan oleh Syeikh Abdullah as-Suweidi al-Abbasi (1104-1174H) di Muktamar Najaf pada zaman pemerintahan Nadir Syah. Meskipun menurut catatannya, pendekatan itu boleh dianggap berjaya tetapi ia tidak berkekalan lama sehingga kerajaan Safawiah berkuasa di Iran. Begitu juga usaha-usaha dari ulama’-ualam’ sunni seumpama Syeikh Mustafa as-Subaie, Muhibbuddin al Khatib dan lain-lain lagi. Pendekatan antara sunni dan syi’e secara teorinya akan tercapai sekiranya ulama’-ulama’ syiah secara jujur (bukan bertaqiyah) mengakui kebenaran Al-Quran, hadith-hadith dari ahli sunnah, menghentikan celaan terhadap sahabat dan menganggap sunni sebagai saudaranya. Selagi syiah berkeras dengan amalan taqiyah, celaan para sahabat r.a, menolak hadith-hadith dan meragui al-Quran, selagi itulah pendekatan sama sekali tidak akan tercapai. Tidak dinafikan di sana adanya gerakan reformasi sebahagian ulama’ mutakhir mereka. Sebagai contoh ialah Dr. Musa al-Musavi yang telah menyuarakan seruan reformasi dalaman syiah dalam bukunya “Syiah dan Pembetulannya”.

KESIMPULAN

Setelah merenung bab-bab yang lepas akan pendapat ulama’-ulama’ ahli sunnah tentang syiah, juga kenyataan ulama’-ulama’ syiah berkenaan fahaman mereka, perbezaan ahli sunnah dan syiah dan akhirnya pandangan-pandangan Khomeini sendiri yang tiada syak lagi imam mereka pada suatu ketika ; maka eloklah kita menyoalkan diri sendiri di sini : Sanggupkah, anda sebagai pemegang aqidah ahli sunnah yang lurus, yang anda yakin – dan bukan atas sentimen – berasaskan dengan Al-Quran dan hadith Rasulullah saw yang sebenar-benarnya, “mendekati” kepercayaan dan amalan anda, iaitu bertolak-ansur dengan orang-orang syiah termasuklah Khomeini setelah jelas kepada anda sekarang akan kefahaman, tujuan, taktik dan amalan-amalan syiah??

Ada dua persoalan yang perlu difikirkan : Pertama, adakah syiah dahulu berbeza dengan syiah sekarang? Kedua, adakah benar bahawa syiah sekarang telah “sedar” akan perpecahan ummah dan sedang berusaha ke arah pendekatan antara sunni dan syiah “ demi untuk perpaduan ummah”? Dari kenyataan Khomeini dan sahabat-sahabatnya, kita dapat membuat kesimpulan bahawa jawapannya ialah TIDAK bagi kedua-dua soalan. Tidak ada bezanya antara syiah dahulu dengan syiah ala Khomeini sekarang.

Jika perselisihan Ahli Sunnah dan Syiah dalam perkara-perkara feqh yang mingkin diandaikan sama seperti perselisihan di antara mazhab-mazhab feqh yang lain, maka perselisihan dalam soal-soal aqidah menjadikan setiap percubaan menemui kegagalan, lantara tidak mungkin seorang sunni menerima apa yang mereka katakan mengenai para sahabat, Al-Quran dan imam-imam. Inilah yang jelas penganut syiah terus berdegil tidak mahu berganjak darinya.

Kita tidak lebih hanya dapat mengatakan kepada penganut syiah – bersama doa petunjuk untuk mereka :
“ Allah tuhan kami dan tuhan kamu
Bagi kami amalam kami dan bagi kamu amalan kamu
Tiada hujjah do antara kami dan kamu
Allah akan menghimpunkan di antara kita dan kepadaNyalah tempat kembali.”
(Asy-Syura : 15)


Disediakan oleh :
Yazid Bahrin,
Fakulti Syariah & Undang-undang,
Universiti Al-Azhar.


HAK CIPTA TERPELIHARA
TIDAK DIBENARKAN MENERBITKAN SEMULA BAHAN INI DALAM APA JUA BENTUK SEKALIPUN, MELAINKAN SETELAH MENDAPAT KEIZINAN MANHAL PMRAM. HARGAILAH PENGORBANAN ORANG LAIN YANG BERTUNGKUS LUMUS MENYIAPKANNYA. MENCETAK SEMULA DAN MENERBITKANNYA DALAM APA JUA BENTUK SEKALIPUN DIANGGAP SEBAGAI JENAYAH DAN DIKIRA BERCANGGAH DENGAN SYARIAH ISLAM.

©MANHAL PMRAM 2000

No comments: