MINDA YANG KREATIF AKAN MENGHASILKAN SATU NATIJAH YANG SANGAT MEMBANGGAKAN DALAM ARENA PENULISAN.

Wednesday, September 12, 2007

KEKOSONGAN JAWATAN



A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan
Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk
jawatan A):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula
dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil.
Anda tidak perlu bawa pingat.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta
(yg banyak).
Anda tidak perlu berparas rupa yg
cantik, hensem atau berbadan tegap
atau seksi.
Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal.

PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput
yang berkaliber untuk menjemput
anda.Ia akan menjemput anda pada bila-
bila masa saja (mungkin sekejap lagi).
Ia akan berlembut kepada orang-orang
tertentu dan akan bengis kepada orang-
orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA
TERTUTUP INI:
Hadis hasan yang diriwayatkan oleh
Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:

Sabda Rasullah SAW: "Sesungguhnya
apabila jenazah seseorang itu
diletakkan di dalam kuburnya,
sesungguhnya jenazah itu mendengar
suara terompah kasut) orang- orang
yang menghantarnya ke kubur pada saat
mereka meninggalkan tempat itu. Jika
mayat itu seorang muslim, maka solat
yang dilakukannya ketika beliau masih
hidup di dunia akan diletakkan di
kepalanya, puasanya diletakkan di
sebelah kanannya, zakatnya diletakkan
di sebelah kirinya dan amalan
kebajikan daripada
sedekah, silaturrahim, perkara
kebajikan dan ihsan diletakkan di
hujung dua kakinya.

Ia akan didatangi malaikat dari aras
kepala, maka solat itu berkata kepada
malaikat: dari arasku tidak ada jalan
masuk. Kemudian malaikat berpindah ke
sebelah kanan, maka puasa berkata
kepadanya:
dari arasku tidak ada jalan masuk.
Kemudian malaikat berpindah ke sebelah
kiri, maka zakat berkata kepadanya:
dari arasku tidak ada jalan masuk.
Kemudian di datangi dari arah kedua
hujung kakinya dan
berkatalah amal-kebajikan: di
bahagianku tidak ada jalan masuk. Maka
malaikat berkata kepadanya: Duduklah
kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan
matahari yang sudah mula terbenam,
lalu malaikat
bertanya kepada mayat itu:

Apakah pandangan kamu tentang seorang
laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu
sentiasa bercakap tentangnya; dan
bagaimana penyaksian kamu kepadanya?
Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku
sebentar, aku hendak sembahyang. Maka
berkata malaikat: Sesungguhnya engkau
akan mengerjakan solat (boleh saja
solat) tetapi jawab dahulu apa yang
kami tanya ini. Apakah pandangan kamu
tentang seorang laki-laki Muhammad)
yang kamu dahulu sentiasa bercakap
tentangnya; dan bagaimana penyaksian
kamu kepadanya? Maka berkata mayat
itu: Laki- laki itu ialah Nabi
Muhammad saw dan aku naik saksi bahawa
nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh
Allah yang membawa kebenaran daripada
Allah Subhanahu Wata'ala. Maka
malaikat berkata kepada mayat itu:
Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu
juga kamu dimatikan dan dengan
demikian juga kamu dibangkitkan semula
di akhirat insya'Allah. Kemudian
dibuka baginya satu pintu syurga, maka
dikata padanya itulah tempat kamu dan
itulah janji Allah bagi kamu dan kamu
akan berada di dalamnya. Maka
bertambahlah gembira mayat itu.
Kemudian dilapangkan kuburnya seluas
70 hasta dan disinari cahaya baginya"

Nampaknya pertahanan kita perlu kuat
dari semua aras (kepala, kanan, kiri
dan hujung kaki).!

Wallahu-a'lam. Semoga berjaya dlm
temuduga ini....

Saturday, September 08, 2007

Apa pandangan anda ttg wanita menjadi hakim syarie

Rasional lantik hakim syarie wanita

Perbincangan mengenai pelantikan wanita Islam sebagai
hakim di Mahkamah Syariah sekali lagi hangat
diperbahaskan.

Dalam resolusi Seminar Wanita Muslim Meniti Perubahan
(Muslim Women in the Midst of Change) anjuran Forum
Profesional Malaysia (MPF) baru-baru ini, ada saranan
agar keputusan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang
mengharuskan wanita Islam menjadi hakim di Mahkamah
Syariah hendaklah dilaksanakan dengan segera.

Pandangan ini diutarakan oleh Dekan Kuliyyah Ahmad
Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Prof. Dr. Zaleha Kamaruddin, dan turut disokong oleh
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dan Pengarah
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Prof. Datuk
Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan harus wanita Islam
menjadi hakim di Mahkamah Syariah dengan syarat
memiliki kebolehan, kewibawaan, kelayakan dan
pengalaman luas dan tidak pula mengadili kes-kes hudud
dan qisas (keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 6 April
2006).

Sebenarnya, Malaysia agak ketinggalan dalam hal ini
walaupun kita jauh ke hadapan dalam sistem kewangan
dan perbankan Islam. Malaysia yang dianggap oleh dunia
Islam sebagai negara contoh tidak menunjukkan
‘teladan’ yang baik dalam pelantikan wanita Islam
sebagai hakim di Mahkamah Syariah. Negara-negara Islam
jiran seperti Indonesia dan Brunei telah pun
melaksanakan ketetapan ini. Ia juga telah dilaksanakan
di negara-negara Islam lain seperti Mesir, Maghribi,
Sudan dan Pakistan.

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai ‘kuasa’ untuk
memaksa negeri-negeri menerima fatwa yang
dikeluarkannya kerana seperti yang diperuntukkan dalam
Perlembagaan Persekutuan, urusan hal ehwal mengenai
undang-undang Islam adalah terletak secara eksklusif
di tangan kerajaan-kerajaan negeri. Setiap negeri
mempunyai Jawatankuasa Fatwa masing-masing dan fatwa
yang dikeluarkan setelah diwartakan hanya berkuat
kuasa di negeri berkenaan sahaja. Ini termasuk dalam
persoalan pelantikan wanita Islam sebagai hakim di
Mahkamah Syariah.

Sesungguhnya, ulama berbeza pendapat mengenai perkara
ini. Dua pandangan yang bertentangan menyebabkan
sesetengah negeri sukar membuat keputusan. Apatah
lagi, pandangan yang mengharamkannya pula datang
daripada mazhab Syafie yang menjadi mazhab dominan di
negara ini.

Sebenarnya, pandangan yang mensyaratkan lelaki sebagai
hakim di mahkamah disokong oleh fuqaha dari mazhab
Syafie, Hanbali dan Maliki. Mereka berhujah kepada
beberapa dalil al-Quran, antaranya:

* “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh
kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka
(lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita).”
(al-Nisa:34)

* “Dan kaum lelaki itu mempunyai satu tingkat
kelebihan berbanding kaum wanita” (al-Baqarah: 228).

Mereka juga merujuk kepada satu hadis yang bermaksud:
“Tidak sesekali akan berjaya sesuatu kaum yang
melantik pemimpin mereka daripada kalangan wanita.”
(Diriwayatkan oleh Bukhari, Tirmizi, Nasa’i dan Ahmad
dari Abu Bakrah).

Para ulama yang menyokong pandangan ini berhujah
bahawa lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal
berbanding dengan wanita. Justeru, bagi mereka,
pelantikan wanita sebagai hakim akan membawa kepada
kerosakan.

Melantik

Tetapi mazhab Hanafi mengharuskan pelantikan wanita
sebagai hakim kecuali dalam kes-kes hudud dan qisas.
Mereka menolak dalil-dalil yang dikemukakan oleh
majoriti. Dalil al-Quran yang menyatakan “kaum lelaki
adalah pemimpin bagi kaum wanita” sebenarnya
dikhususkan dalam urusan hal ehwal rumah tangga, dan
tidak lebih dari itu.

Justeru, kepimpinan lain adalah diharuskan. Golongan
Hanafi juga menolak hadis “Tidak sesekali akan berjaya
mana-mana kaum melantik wanita mengendalikan urusan
mereka”. Terdapat tiga alasan utama yang menyebabkan
mereka menolak hadis ini:

* Ia hanya melibatkan larangan melantik wanita sebagai
Imam Al-Uzma dan tidak kepada jawatan-jawatan lain.

* Hadis tersbut adalah hadis Ahad yang bersifat zanni;
dan

* Ia merujuk khusus kepada jawapan oleh Nabi Muhammad
s.a.w terhadap pelantikan Raja Parsi yang melantik
anak perempuannya sebagai pengganti.

Dalam suasana yang berbeza dengan zaman dahulu,
seharusnya pandangan mazhab Hanafi diterima pakai. Ini
disokong oleh Imam-imam lain seperti Ibn Jarir
Al-Tabari dan Hassan Al-Basri. Hujah mereka ialah
kalau wanita boleh dilantik menjadi mufti, maka
melantik mereka ke jawatan hakim juga adalah patut.

Ini berdasarkan amalan yang pernah dibuat oleh Nabi
Muhammad s.a.w sendiri di mana Baginda pernah melantik
seorang wanita bernama Samra’ binti Nuhaik al-Asadiah
sebagai Muhtasibah (jawatan dalam Hisbah) di Mekah.
Jawatan ini merupakan salah satu cabang dari hakim.

Ini ditambahkan pula dengan pelantikan Al-Syifa’ Abi
Sulaiman sebagai Muhtasibah di pasar Madinah semasa
zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Tambahan pula,
mengikut pendapat Ibn Jarir, tugas hakim ialah untuk
melaksanakan keadilan dan keadilan boleh dilaksana
oleh lelaki atau wanita.

Justeru, beliau menolak hadis yang diriwayatkan oleh
Abu Bakrah bahawa sesuatu kaum itu tidak akan berjaya
kalau pemimpinnya dilantik daripada kalangan wanita.
Ini kerana, larangan dalam hadis itu hanyalah untuk
jawatan khalifah.

Pandangan-pandangan yang mengharuskan wanita dilantik
sebagai hakim turut dikongsi oleh Ibn Hazm
Al-Zahiriyyah, Ibn Al-Qayyim dan beberapa ulama
kontemporari seperti Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi,
Syeikh Rashid Al-Ganushi, Allahyarham Dr. Zaki Badawi
dan lain-lain.

Menurut Prof. Madya Dr. Siti Zalikhah Md. Nor, Jabatan
Syariah, UKM, terdapat banyak rasional dalam
mengharuskan pelantikan wanita sebagai hakim,
antaranya:

* Memandangkan kes-kes yang terlibat di Mahkamah
Syariah hanya dalam kategori mal dan kesalahan ta’zir;

* Hakim sekarang tidak memerlukan ijtihad yang berat
seperti dahulu;

* Majoriti pelanggan Mahkamah Syariah terdiri daripada
wanita;

* Kehadiran wanita di mahkamah tidak mengaibkan
golongan lelaki; dan

* Terdapat wanita yang dilantik sebagai peguam.

Dalam muzakarah pakar yang dianjurkan oleh Jabatan
Mufti Selangor tahun lalu (16 November 2006), para
hadirin telah melihat hujah-hujah yang dikemukakan
oleh para pembentang. Ada yang menyokong supaya wanita
dilantik sebagai hakim di Mahkamah Syariah dan ada
yang menentang. Datuk Md. Salleh Md.@ Ahmad, (UIAM)
tidak bersetuju dengan pelantikan wanita sebagai hakim
melihat kepada hujah-hujah yang dikemukakan di atas.
Datuk Syeikh Ghazali Abdul Rahman (JKSM) pula
nampaknya berhati-hati dalam membuat keputusan,
manakala Dr. Siti Zalikhah menyokong penuh pandangan
yang mengharuskan pelantikan wanita sebagai hakim di
Mahkamah Syariah.

Pandangan majoriti yang menyatakan terdapat ijmak
ulama bahawa wanita tidak boleh dilantik sebagai hakim
sebenarnya tidak tepat. Ini kerana pada pengamatan
penulis, pandangan yang menyatakan haram adalah
pendapat jumhur. Pandangan minoriti termasuk daripada
mazhab Hanafi, Ibn Jarir Al-Tabari, Ibn Hazm dan Ibn
Qayyim serta ulama kontemporari seperti Syeikh Dr.
Yusof Al-Qardhawi dan Rashid Al-Ghanushi tidak boleh
ditolak begitu sahaja.

Pelantikan wanita sebagai hakim di Mahkamah Syariah
tidak bertentangan dengan hukum syarak. Ini
lebih-lebih lagi melihat kedudukan bidang kuasa dan
peruntukan terhad yang diberikan kepada Mahkamah
Syariah yang tidak boleh menjatuhkan hukuman hudud dan
qisas.

Mengambil pendekatan golongan minoriti bukanlah suatu
yang asing dan pelik dalam Fiqh. Tambahan pula,
walaupun pandangan mazhab Syafi’i merupakan pandangan
dominan di Malaysia, terdapat beberapa amalan yang
diambil daripada mazhab Hanafi seperti pembayaran
zakat fitrah dengan menggunakan wang menggantikan
beras setelah mengambil kira faktor maslahah dan
peredaran zaman.

– DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL,

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU),

Universiti Teknologi Mara, (UiTM).

Monday, September 03, 2007

Cara pelaksanaan haji Tamattu’


Jemaah boleh pilih jenis ibadat sesuai berasas kepada keadaan, kesanggupan

TIGA jenis haji dibolehkan kita memilihnya sesuai dengan keadaan dan kesanggupan kita yang berbeza-beza iaitu haji Tamattu', haji Ifrad dan haji Qiran.

Haji Tamattu’ bermaksud mengerjakan umrah pada bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun hijrah yang sama, ia akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat berkaitan dengan haji.

Sebahagian besar jemaah haji Malaysia memilih cara ini kerana tidak lama berada dalam ihram, khususnya bagi mereka yang uzur atau berlepas dengan penerbangan awal.

Cara pelaksanaan haji Tamattu' terbahagi dua bahagian iaitu cara pelaksanaan ibadat umrah dan cara pelaksanaan ibadat haji.

Cara pelaksanaan ibadat umrah:
• Sebelum berniat ihram, adalah disunatkan mandi sunat ihram dengan niat, “Saja aku mandi sunat ihram kerana Allah Taala.”


• Memakai pakaian ihram. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya dua helai kain lepas yang tidak bersarung seperti seluar, baju dan sebagainya dan disunatkan berwarna putih. Bagi wanita pula hendaklah menutupi semua badan kecuali muka dan tangan.
• Sebelum berniat ihram, disunatkan mendirikan solat sunat ihram dua rakaat dan berdoa semoga Allah menerima ibadat umrah dan mempermudahkan urusannya.
• Berniat ihram umrah sebagai rukun umrah pertama. Lafaz niatnya “Saja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.”
• Niat ihram itu hendaklah dilakukan di miqat atau sebelumnya (wajib umrah). Bagi jemaah haji Malaysia ada dua miqat yang berkaitan iaitu Qanul Manazil, bagi mereka yang menaiki penerbangan ke Jeddah dan terus ke Makkah, atau Bi'r Ali bagi mereka yang perjalanannya ke Madinah dulu.
• Sebaik saja selesai niat ihram, maka diwajibkan menjaga larangan ketika dalam ihram sehingga bertahallul.
• Disunatkan bertalbiah mulai selepas niat ihram sehingga memulakan tawaf.
• Hendaklah melakukan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah tujuh keliling. Ini rukun umrah kedua.
• Selepas selesai melakukan tawaf dengan sempurna, maka hendaklah melakukan sa'ie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali sebagai rukun umrah ketiga.
• Bercukur atau bergunting sebagai rukun umrah keempat hendaklah dilakukan selepas selesai melaksanakan sa'ie dengan sempurna. Apabila selesai bercukur atau bergunting, maka terhasil tahallul, yakni bebas daripada semua larangan ketika dalam ihram.
• Melaksanakan susunan rukun umrah secara berturutan seperti di atas, bererti sudah melaksanakan tertib sebagai rukun umrah yang kelima.

Sementara menunggu hari wukuf, jemaah haji eloklah buat amalan sunat seperti mengerjakan umrah, tawaf sunat, solat berjemaah di Masjidil Haram mengikut kemampuan.

Cara pelaksanaan ibadat haji. Apabila sampai masa untuk mengerjakan haji iaitu biasanya pada 8 Zulhijjah, maka jemaah yang mengerjakan haji Tamattu' mengadakan persiapan untuk berihram haji. Pelaksanaannya seperti berikut:
• Sebelum berniat ihram, adalah disunatkan mandi sunat ihram dengan niat, “Saja aku mandi sunat ihram kerana Allah Taala.”
• Memakai pakaian ihram. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya dua helai kain lepas yang tidak bersarung dan disunatkan berwarna putih. Bagi wanita pula hendaklah menutupi semua badan kecuali muka dan tangan.
• Sebelum berniat ihram, disunatkan mendirikan solat sunat ihram dua rakaat dan berdoa semoga Allah menerima ibadat dan mempermudahkan urusan.
• Berniat ihram haji adalah rukun haji. Lafaz niatnya, “Saja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.”
• Niat ihram itu hendaklah dilakukan di miqat sebagai wajib haji, iaitu di hotelnya atau Tanah Haram Makkah.
• Sebaik saja selesai niat ihram, maka diwajibkan menjaga larangan ketika dalam ihram sehinggalah selesai bertahallul (wajib Haji).
• Disunatkan bertalbiah mulai selepas niat ihram sehingga bertahallul awal.
• Wukuf adalah rukun haji yang dilakukan selepas niat ihram iaitu berada di bumi Arafah walaupun sekejap selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga fajar 10 Zulhijjah.
• Selepas selesai wukuf, jemaah bergerak menuju Muzdalifah untuk tujuan bermabit di Muzdalifah (wajib haji) dan disunatkan mengutip anak batu.
• Melontar Jamrah al-Kubra dilakukan selepas tengah malam pada 10 Zulhijjah (Wajib Haji).
• Bercukur atau bergunting sebagai rukun haji dan boleh dilakukan bermula selepas tengah malam pada 10 Zulhijjah.
• Selepas melaksanakan lontaran Jamrah al-Kubra dan bercukur atau bergunting, maka terhasil tahallul awal, iaitu bebas sepuluh perkara larangan ketika ihram dan yang masih menjadi larangan ialah perkara berkaitan dengan hubungan jenis dan nikah kahwin.
• Mabit (bermalam) di Mina wajib dilaksanakan pada malam 11 dan 12 Zulhijjah bagi jemaah yang memilih Nafar Awal. Manakala jemaah yang memilih Nafar Thani adalah wajib mabit di Mina pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah (wajib haji).
• Melontar Jamrah al-Sughra, Jamrah al-Wusta dan Jamrah al-Kubra adalah wajib dilaksanakan pada 11 dan 12 Zulhijjah bagi jemaah yang memilih Nafar Awal. Manakala jemaah yang memilih Nafar Thani adalah wajib melontar ketiga-tiga jamrah tadi pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah (wajib haji).
• Tawaf rukun haji hendaklah dilakukan bermula selepas tengah malam 10 Zulhijjah.
• Sa'ie sebagai rukun haji hendaklah dilakukan selepas tawaf haji
• Apabila sudah melakukan lontaran Jamrah al-Kubra, bercukur atau bergunting dan sudah selesai tawaf dan sa'ie, maka berhasil tahallul thani iaitu bebas daripada semua larangan ketika dalam ihram.

Mengenai tertib dalam melaksanakan rukun haji, ada banyak pilihan yang boleh disemak dalam penulisan berkaitan dengan rukun haji. Dengan terlaksananya semua perkara di atas, maka sempurnalah haji Tamattu'.

Penulis ialah pengkursus ibadat haji Lembaga Tabung Haji

Saturday, September 01, 2007

Bincang puasa

soalan : Adakah harus bagi seseorang yang berpuasa untuk mandi laut?Adakah dengan mandi laut akan menyebabkan puasa seseorang itu terbatal?

Jawapan : Sheikh Husnain Mohd Makhluf .

Mandi dilaut atau mandi air biasa untuk menyejukan badan ataupun berkelubung mengunakan kain yang basah tidak membatalkan puasa,meskipun ia dapat merasakan kesejukan air tersebut pada dalaman badanya.

Dan Imam Abu Yusof telah memfatwakan membasahkan diri dgn air sewaktu berpuasa tidak makruh bersandarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Nabi S.A.W pernah mencurahkan air keatas kepalanya walhal nabi dalam keadaan berpuasa menahan dahaga dan kepanasan.

Ibnu Umar juga pernah membasahkan kainya dan berselubung dengan mengunakan kain tersebut,dan beliau berpuasa pada waktu itu, kerana perkara tersebut akan mendatangkan kesenangan dalam menunaikan puasa dan dapat menolak kepayahan yang tabi'i.

Dan sekiranya air itu memasuki kedalam tubuh melalui liang-liang rongga ia tidak memberikan apa-apa kesan terhadap puasa seseorang,ini kerana ia hanya akan terbatal sekiranya air memasuki melalui saluran-saluran(mulut,hidung dan yang sewaktu dgnya) sahaja.

Imam Abu hanifah telah memakruhkan perkara tersebut kerana ia menzahirkan kelemahan dalam mengibaratkan kelemahan itu bukan kerana ia membatalkan.

sumber Hadieislam.