MINDA YANG KREATIF AKAN MENGHASILKAN SATU NATIJAH YANG SANGAT MEMBANGGAKAN DALAM ARENA PENULISAN.

Friday, July 06, 2007

metodologi imam bukhari

Memahami metodologi hadis Imam Bukhari

RAMAI masih keliru mengenai pengertian hadis sahih dan kaitannya dengan
Imam Bukhari. Benarkah Imam Bukhari menyusun kitab sahihnya daripada
600,000 hadis dan kemudian mengambil 7,000 saja. Apakah benar lebih
590,000 hadis yang ditinggalkan Bukhari itu adalah hadis palsu. Di mana
benarnya hadis itu dikutip untuk dijadikan hujah bagi tindakan yang
tidak benar? UGI SUHARTO dari Istac cuba meluruskan banyak kekeliruan
mengenainya.

IMAM Bukhari sendiri tidak mendakwa bahawa hadis yang ditinggalkannya
itu palsu belaka. Bahkan beliau tidak juga mengatakan bahawa tiada lagi
hadis yang sahih di luar kitabnya itu. Perhatikan pengakuan Imam Bukhari
menerusi riwayat berikut. Imam Bukhari berkata: Ketika kau (dalam majlis
ilmu) Ishak Rahawaih, sebahagian sahabat kami berkata, "(Alangkah
baiknya) andainya kamu menyusun sebuah kitab yang ringkas berkenaan
sunnah Nabi." Perkataan itu sangat berkesan dalam hatiku. Maka akupun
menyusun kitab ini, iaitu kitab al-Kami.

Imam Bukhari berkata lagi: "Aku hasilkan kitab ini iaitu al-Sahih
daripada kira-kira 600,000 hadis." Dalam riwayat yang lain Imam Bukhari
juga berkata: "Aku tidak memasukkan dalam kitabku 'al-Sahih' ini kecuali
(hadis) yang sahih saja, aku tinggalkan hadis sahih lain kerana terlalu
panjang.

Ketiga-tiga riwayat itu dipetik daripada kitab Tahdhib al-Kamal fi Asma
al-Rijal (Vol. 24, ms. 442) karya Imam al-Mizzi. Kitab ini adalah antara
rujukan yang autoritatif dalam persuratan Rijal. Kitab ini terdiri
daripada 35 jilid dan setiap jilidnya setebal kira-kira 500 muka surat.
Sebenarnya tanpa penjelasannya, ketiga-tiga riwayat itu cukup untuk
meluruskan kekeliruan berkenaan. Tapi elok jika kita perincikan supaya
jelas. Berdasarkan riwayat di atas Iman Bukhari tidak bermaksud
memasukkan semua hadis sahih yang diketahuinya kerana khuatir kitabnya
itu menjadi terlalu panjang. Oleh itu beliau memberi nama karyanya itu
al-Jami al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umuri Rasulullah wa
Aiyamihi. Daripada judul itu jelas kitab beliau adalah al-Sahih
al-Mukhtasar iaitu ringkasan padat hadis sahih. Ini bermakna
banyak lagi hadis sahih yang tidak dimasukkan oleh Imam Bukhari dalam
kitabnya. Oleh itu imam hadis lain selepas beliau masih terus mengadakan
penelitian dan penyelidikan untuk mengenal pasti hadis sahih itu.

Sebagai contoh, Imam Muslim (204 - 259 H) yang lebih muda daripada Imam
Bukhari (194 - 256 H), memasukkan hadis sahih yang tidak diriwayatkan
Imam Bukhari. Kitab Sahih Muslim ini hampir setanding nilainya dengan
Sahih Bukhari, kalaupun tidak sama taraf keilmiahannya. Bahkan ada
sebahagian ilmuwan Islam dari dahulu lagi yang menilai bahawa Sahih
Muslim itu lebih tinggi mutunya daripada Sahih Bukhari. Walaupun begitu
kebanyakan ilmuwan menilai Sahih Bukhari lebih tinggi mutunya.
Perbandingan ini laksana perbandingan
antara berlian dengan intan. Seorang lagi imam hadis iaitu Imam Hakim,
selepas membandingkan periwayat Sahih Bukhari dan Sahih Muslim,
mendapati bahawa periwayat yang dicatatkan oleh Imam Bukhari tetapi
tidak dicatatkan oleh Imam Muslim adalah berjumlah 434 orang periwayat.
Sedangkan periwayat yang dicatatkan oleh Imam Muslim tetapi tidak
dicatatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim masih lagi mempunyai peluang
besar untuk mendokumentasikan hadis sahih lain menerusi lebih 1,000
periwayat. Inilah yang dilakukan oleh imam hadis yang lain dengan karya
mereka. Sejarah dan kitab mereka yang sampai kepada kita adalah bukti
pencarian dan penelitian hadis sahih ini berlaku selepas Imam Bukhari.
Kitab hadis yang diberi gelaran al-Sahih selepas Sahih Bukhari dan
Muslim misalnya, Sahih Ibnu Khuzaimah, Sahih Ibnu Hibban,
Sahih Ibnu al-Sakan, Sahih al-Sharqi dan lain-lain. Hari ini, kita boleh
membaca kitab Sahih Ibnu Hibban. Selepas disunting ia mempunyai 16 jilid
dan memuat lebih 7,400 hadis. Usaha pencarian hadis sahih ini bukan saja
berlaku pada zaman silam, bahkan zaman moden inipun usaha itu masih
dijalankan. Contohnya apa yang dilakukan oleh Syeikh Nasiruddin al-Bani.

Jika hadis yang ditinggalkan Imam Bukhari tidak ada lagi yang sahih,
nescaya terhentilah pencarian dan penyelidikan itu sejak dahulu lagi.
Ini tentunya bertentangan dengan sejarah dan fakta. Jika hadis yang
590,000 lebih itu hadis palsu belaka, di mana letaknya kitab hadis
muktabar lain seperti karya Imam Malik, Abdur Razak, Imam Ahmad, Abu
Daud, Tirmizi, Nasai, Ibnu Majah, Darimi, Hakim, Baihaqi, Daruqutni dan
lain-lain. Sebagai perkiraan, Musnad Imam Ahmad saja mengandungi
kira-kira 40,000 hadis dan Musannaf Abdur Razaq al-San'ani pula
mengandungi lebih daripada 21,000 hadis. Jika semua kitab hadis yang ada
dan yang masih lagi dalam manuskrip di perpustakaan dunia Islam dan
Barat, disatukan dan dihitung bilangannya, nescaya ia mencapai ratusan
ribu juga. Hadis yang ratusan ribu ini bukan semuanya palsu belaka,
tetapi kebanyakannya berulang-ulang dengan jalan periwayat yang berbeza.
Menurut M M Azami, seorang tokoh hadis terkemuka zaman ini, jumlah hadis
dalam sahih Bukhari adalah 9,082 tetapi tanpa pengulangan ia hanya
berjumlah 2,602 hadis.

Mereka yang arif dalam disiplin hadis tidak membahagi kategori hadis
dalam pembahagian ekstrim, sahih dan palsu. Kerana di antara
kedua-duanya ada spektrum yang memisahkannya. Ada hadis hasan-sahih,
hasan, daif dan lain-lain. Bahkan hadis sahih itu sendiri mempunyai
darjat yang berbeza-beza. Imam Ibnu Salah misalnya membahagi hadis sahih
itu dalam tujuh peringkat. Pertama, hadis yang diriwayatkan
Bukhari saja tanpa Muslim. Kedua, hadis yang diriwayatkan Bukhari dan
Muslim. Ketiga, hadis yang diriwayatkan Muslim sahja tanpa Bukhari.
Keempat hadis yang tidak diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, tetapi
menggunakan syarat Bukhari dan Muslim. Kelima, hadis yang memenuhi
syarat Bukhari, walaupun Imam Bukhari tidak meriwayatkan hadis itu.
Keenam, hadis yang memenuhi syarat Muslim, walaupun Imam Muslim tidak
meriwayatkan hadis itu. Ketujuh, hadis sahih lain yang diriwayatkan oleh
selain Bukhari dan Muslim, dan tidak menggunakan syarat keduanya.
Daripada pengkelasan itu nyatalah empat per tujuh bahagian hadis sahih
itu tidak diriwayatkan Bukhari dan Muslim.

Muhammad Fuad Abdul Baqi, dalam karyanya al-Lu'lu wa al-Marjan,
mengumpulkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim
bersama-sama. Beliau mendapati hanya 1,906 hadis. Hadis inilah yang
dipanggil Muttafaqun Alaih dan mempunyai darjat kesahihan paling tinggi.
Fakta ini tidak boleh ditafsirkan hadis sahih itu hanya 2,000 dan yang
selebihnya palsu. Tafsiran seperti itu bertentangan dengan akal yang
sihat. Masakan Rasulullah yang menjadi Nabi dan Rasul selama 23 tahun
dan yang setiap hari berkomunikasi, membimbing dan berkhutbah, mengutus
surat kepada bukan Islam, hanya bercakap dalam 2,000 potong hadis saja.

Sebenarnya bilangan 600,000 hadis yang beredar pada zaman Imam Bukhari
itui tidak memeranjatkan. Menurut kajian MM Azami, pada abad pertama
Hijrah ratusan risalah hadis didokumentasi ulama. Pada abad kedua
Hijrah, bilangan risalah dan buku hadis mencapai angka ribuan. Buku
kecil dan risalah hadis itu diserap dan dimasukkan dalam karya besar
ulama hadis terkemudian. Apabila buku hadis jenis ensiklopedia
dihasilkan, seperti al-Musannaf Abdur Razak, Musnad Imam Ahmad, dan
kitab hadis muktabar lain, sarjana hadis tidak lagi perlu menyimpan
risalah dan buku kecil itu. Ia tidak beredar lagi. Isnad hadis itulah
yang menjadi bukti proses penyertaan di atas. Ulama hadis ketika itu
menganggap setiap isnad sebagai satu hadis. Oleh itu apabila satu
perkataan Rasulullah diriwayatkan 100 isnad ia dikira 100 hadis. Jadi
beberapa ribu perkataan Rasulullah saja boleh mencapai lebih 600,00
hadis. Ilmuwan dulu juga meneliti pelbagai martabat hadis, termasuk
hadis palsu supaya tidak dijadikan hujah oleh golongan tertentu.

Akhirnya, eloklah saya kutip sikap dan ketelitian Imam Malik (93 - 179
H) dalam meriwayatkan hadis Rasulullah:

"Sesungguhnya ilmu (hadis) ini adalah agama, oleh itu telitilah olehmu
daripada siapa kamu mengambilnya. Sesungguhnya aku mendapati 70 orang
yang berkata 'telah bersabda Rasulullah' di dekat masjid ini, sedangkan
aku tidak mengambilnya sama sekali. Padahal antara mereka apabila
diamanahkan menjaga baitulmal nescaya boleh dipercayai. Tetapi sayang
mereka bukan ahli dalam bidang ini.

WaAllahu A'lam.

No comments: