MINDA YANG KREATIF AKAN MENGHASILKAN SATU NATIJAH YANG SANGAT MEMBANGGAKAN DALAM ARENA PENULISAN.

Thursday, July 26, 2007

Islam tak anggap wanita kelas dua

Islam tak anggap wanita kelas dua

TIDAK dinafikan isu kedudukan wanita dan lelaki selalu menjadi
perbincangan kerana banyak tulisan bukan memberi lebih kefahaman
tetapi menyebabkan kita lebih keliru seperti yang dinyatakan. Allah
tidak membezakan lelaki dan wanita dari segi kehormatan, kedudukan
di sisi undang-undang dan kedudukan dari sisi-Nya.

Perbezaan di sisi Allah hanyalah semata-mata berdasarkan ketakwaan
seseorang tidak kira dia lelaki ataupun wanita. Dengan kata lain,
seorang lelaki tidak diberi keistimewaan masuk syurga semata-mata
kerana dia lelaki, atau seorang wanita dimasukkan ke neraka kerana
dia wanita. Tetapi amal ibadat, ketakwaan dan ketaatan yang
dipandang Allah, bukan jantina seseorang.

Namun begitu, ada perbezaan dari segi fungsi dan peranan wanita
serta lelaki. Secara adatnya, wanita memikul tanggungjawab atau
fungsi berbeza dengan lelaki. Wanita dicipta dengan susuk tubuh
badan tidak serupa dengan lelaki. Wanita mengandung selama sembilan
bulan, mengalami sakit sewaktu melahirkan anak, mempunyai sifat
keibuan dan sering kali mengutamakan anak lebih daripada diri
sendiri.

Bagi insan yang rasional tentu dapat memahami dari aspek ini bahawa
ada perbezaan fungsi antara lelaki dan wanita. Walaupun sedemikian,
martabat wanita tidak diletakkan di bawah ataupun di atas lelaki.
Kedua-dua jantina saling lengkap melengkapi dan penting bagi
pembinaan institusi keluarga bahagia serta masyarakat harmoni.

Menyamakan fungsi kedua-dua jantina ini menyebabkan masyarakat
hilang arah tuju, melawan sifat semula jadi dan mengelirukan orang
ramai. Lelaki tetap lelaki dan wanita tetap wanita dan sama-sama
memainkan peranan masing-masing dalam mencari keredaan Allah.

Oleh kerana ada perbezaan peranan dan fungsi itulah maka undang-
undang Islam mengiktiraf peranan masing-masing dalam bidang masing-
masing. Umpamanya, dalam bidang faraid al-Quran jelas menyebut
mengenai pembahagian itu.

Dalam memahami hukum Allah, ada hukum bersifat qati'e dan zanni.
Qatie bermaksud hukum bersifat putus, mutlak dan kita tidak diberi
hak untuk mentafsirkan dengan maksud lain daripada yang disebut.

Tetapi hukum zanni tidak bersifat putus, manusia diberi hak
mentafsirkan dengan menggunakan akal yang benar. Saudari boleh
merujuk kepada ustaz berhampiran untuk memahami dengan lebih lanjut.
Hukum pusaka dalam Quran menyebut jumlah yang bersifat qatie di mana
disebut satu perdua, satu perempat, satu perlapan dan sebagainya. Ia
adalah putus dan kita wajib menerima, beriman dan patuh sebagai
lambang ketaatan kepada Allah.

Namun, bagi memahami kenapa ada perbezaan pembahagian pusaka, kita
boleh mengkaji peranan lelaki dan wanita dalam kekeluargaan Islam.
Seorang lelaki bertanggungjawab menyara keluarganya dalam apa
keadaan sekalipun. Jika tidak berkemampuan, maka keluarga sebelah
lelaki wajib membantunya.

Oleh itu, jika lelaki mendapat pusaka dua kali ganda daripada
wanita, pusaka itu perlu diagihkannya kepada orang di bawah
tanggungannya seperti isteri dan anak. Berbeza apabila seorang
wanita menerima pusaka, dari segi hukum, harta itu adalah
kepunyaannya sendiri secara total, suami dan anak lelaki tidak
berhak kepada harta itu.

Suami tidak boleh menuntut pusaka itu sebagai harta sepencarian.
Oleh itu, walaupun secara luaran seolah-olah lelaki menerima lebih
banyak pusaka, tetapi hakikatnya setelah ditolak tanggungan, lelaki
sebenarnya menerima kurang daripada wanita.

Begitu juga keadaannya dalam isu talak. Walaupun suami boleh
melafazkan talak tetapi Islam tidak pernah memberi jalan supaya
lelaki menceraikan sesuka hati. Rasulullah SAW menyebut, "Perkara
halal tetapi dibenci Allah adalah talak."

Dalam keadaan suami menceraikan isterinya tanpa sebab munasabah,
suami itu menanggung dosa menzalimi isteri, dia bertanggungjawab
membayar sagu hati perkahwinan atau mutaah kepada bekas isterinya.
Wanita juga boleh mengambil tindakan untuk berpisah dengan kaedah
lain seperti khuluq, fasakh dan taklik.

Ada banyak perkara wanita diberi keistimewaan dalam Islam kerana
peranan yang dimainkan mereka. Umpamanya, urutan keutamaan mendapat
hak jagaan anak adalah wanita dan bapa diletakkan di tempat ketiga
selepas ibu dan nenek.

Wanita tidak pernah dibebankan membayar nafkah kepada suami ataupun
anak walaupun wanita itu kaya atau bekerja dan mempunyai gaji
lumayan. Jika dia memberi dengan reda untuk keluarganya, ia dianggap
hadiah atau pemberian membantu meringankan beban suaminya.

Dalam Islam kesamaan itu tidaklah bermakna satu sama dengan satu.
Persamaan dan keadilan dalam Islam berlaku apabila kita meletakkan
sesuatu di tempat yang betul ataupun memberikan hak kepada yang
berhak. Dalam erti kata lain, hak persamaan itu diberikan sesuai
dengan peranan dan fungsi yang dimainkan seseorang.

Oleh itu, janganlah terpengaruh dengan dakwaan bahawa undang-undang
Islam mendiskriminasi wanita atau memandang wanita sebagai makhluk
kelas dua. Itu semua tidak benar. Tiada diskriminasi dalam Islam,
yang ada cumalah memberi pengiktirafan terhadap peranan yang
dimainkan oleh setiap golongan.

Namun begitu, setiap orang sama ada lelaki atau wanita perlu
memahami hak dan tanggungjawab masing-masing. Jangan hanya mengambil
hak saja tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab. Sikap itu
sebenarnya merosakkan Islam dan memberi gambaran Islam tidak adil.
Yang patut dipersalahkan ialah umat Islam yang tidak mengamalkan
Islam sepenuhnya bukannya undang-undang Islam.
wslm...

No comments: