MINDA YANG KREATIF AKAN MENGHASILKAN SATU NATIJAH YANG SANGAT MEMBANGGAKAN DALAM ARENA PENULISAN.

Friday, August 10, 2007

permudahkanlah....bukan menyusahkan

Sabda Rasulullah s.a.w: "Berikan kemudahan (kepada orang) dan jangan menyusahkan mereka,berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadi mereka menjauhkan diri (daripada Islam)"
(Hadith Riwayat Bukhari; Kitab ilmu, Bab Ma Kana al Nabi (s.a.w) Yatakhawwalukum
bi al-Mawizah wa al-'ilm Kay La Yunaffiru. Jil 1)

Inilah Hadith yang perlu dipegang untuk setiap muslim yang bergelar Pendakwah, tidak mengira bangsa, jantina atau warna kulit, kerana Islam itu datang untuk semua kaum.
Dalam keadaan negara Malaysia yang berbagai ragam dan jenis manusia ini, pendakwah mestilah mempunyai keilmuan dan kebijaksaan yang tinggi.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 185: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.

Dan dalam dalam satu hadith lagi Nabi s.a.w bersabda:

"Agama Islam itu mudah, tidak ada seseorang yang lebih suka mengambil berat
dalam Agama melainkan dia akan kalah sendiri. Maka perbetulkan,perdekatkan, berikan
khabar gembira dan gunakan waktu pagi dan petang serta sedikit daripada
waktu malam". (hadith Riwayat Bukhari;Kitab al-iman, Bab al-Din Yusr. Jil. 1).

Sesungguhnya manusia itu berbagai ragam, ada yang ingin kepada Islam, tetapi keinginannya tidak begitu kuat, boleh jadi akan ada orang yang murtad kembali kerana perkara yang remeh temeh. Ada juga orang bukan Islam, tidak mahu memeluk Islam kerana nampak Islam itu menyusahkan. Sedangkan perkara yang mereka nampak menyusahkan itu sebenarnya masih khilaf dan tidak qati’i.

Jika non-muslim atau saudara baru kita berkata kepada saya, “jika saya memeluk Islam, adakah perlu saya berkhitan?”. Maka saya akan berkata, bergantung pada anda sendiri, jika anda takut, maka tidak perlu dan tidak wajib pun berkhitan kerana Islam itu sungguh mudah. [1]

Jika mereka (yakni non-muslim atau org yg baru masuk Islam) berkata kepada saya, “saya amat suka makan katak,kura2, biawak. Adakah halal untuk saya memakannya?”. Maka saya akan menjawab, “makanlah dan Ia halal, sesungguhnya Islam itu tidak menyusahkan penganutnya.” [2]

Dan jika mereka berkata kepada saya,”sebelum memeluk Islam saya suka makan babi, selepas masuk Islam,barulah saya tahu, babi itu haram di makan dan bernajis, apakah yg perlu saya lakukan kepada pinggang mangkuk saya, periuk kuali saya?”. Maka saya akan berkata “bukankah kamu sudah membasuh dengan air selepas menggunakannya?.sesungguhnya babi adalah najis sederhana, ia sudah suci dengan basuhan kamu itu”. [3]

Dan jika mereka bertanya lagi kepada saya, “adakah Islam agama yang adil?”. Maka saya akan menjawab “Islam lah Agama yang seadil-adilnya, kerana jika muslim membunuh non muslim (kafir Zimmi), maka pembunuh itu tadi akan turut di bunuh berdasarkan hukum qisas”. [4]

Jika mereka bertanya kepada saya, “adakah semua hidupan laut itu halal untuk dimakan?”. Maka saya akan berkata, “selagi ia tidak beracun, maka ia halal. Sesungguhnya Agama Islam itu mudah”. [5]

Lihatlah, betapa mudahnya Islam itu untuk penganutnya, sehinggakan Rasulullah s.a.w sendiri pun jika di beri pilihan akan memilih perkara yang mudah selagi mana ia tidak berdosa.inilah Rahmat kepelbagaian mazhab...

1 comment:

Unknown said...

Perlu rujuk pada hukum fikah sbb tk tepat jika jawap berdasarkan akal semata2