MINDA YANG KREATIF AKAN MENGHASILKAN SATU NATIJAH YANG SANGAT MEMBANGGAKAN DALAM ARENA PENULISAN.

Tuesday, August 28, 2007

Ajaran sesat

Ajaran sesat yang datang dalam pelbagai bentuk dan gaya, malah berselindung di sebalik nama tertentu melambangkan keislaman menjadi satu ancaman besar kepada umat Islam.Sesetengahnya menggunakan nama aliran tarikat dan kumpulan zikir, membuatkan ramai orang terkeliru dan terpengaruh, malah menjadi taksub dengan segala yang dibawa oleh ketua mereka.

Tetapi hakikatnya fahaman dibawa golongan sesat bertentangan dengan akidah dan syariat Islam, malah jauh tersasar daripada anjuran al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.Walau pun penampilannya dengan pelbagai rupa dan nama, sesuatu ajaran itu boleh dikenali sebagai sesat dengan melihat kepada beberapa kriteria yang jelas menyeleweng, antaranya:

* Dakwaan Allah menjelma dalam diri guru atau seseorang.

* Dakwaan guru mereka sebagai nabi atau malaikat.

* Mengamalkan nikah batin.

* Dakwaan guru mereka memegang kunci pintu syurga dan pengikut mereka saja dijamin syurga.

* Mendakwa guru mereka boleh menebus dosa dengan wang atau harta.

* Percaya guru mereka menerima wahyu.

* Syeikh atau guru mendakwa mempunyai mukjizat.

* Mengaku mengetahui perkara ghaib.

* Meninggalkan solat Jumaat kerana mengamalkan suluk (mengasingkan diri di tempat tertentu seperti gua atau bukit.

* Mendakwa ajaran dibawa mereka diambil terus dari Rasulullah s.a.w secara jaga.

* Dakwa mampu berbicara dengan Rasulullah bagi menyelesaikan masalah semasa.

Sesetengahnya berselindung dengan amalan berzikir tetapi yang sebenarnya lain pula diucapkan dan dilakukan. Malah, niat mereka juga lain. Jika tidak mengapa perlu berzikir di dalam gelap, malah ada pula bercampur bebas lelaki dan wanita.
Mereka mendakwa berzikir, tetapi mereka sendiri tidak mengerti maksud dan hakikat zikir, jelas menunjukkan kejahilan mereka. Tetapi anehnya, masih ada yang terkeliru dan terpengaruh, lalu menjadi pengikut setia.Ada pula yang berpegang solat hanya kepada niat, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah atau sebaliknya, malah menyerahkan diri sepenuh jiwa raga kepada guru melalui nikah batin, semuanya bertentangan dengan syariat.

Kumpulan ajaran sesat sekiranya tidak dibasmi boleh meruntuhkan kerukunan beragama dalam masyarakat, malah secara tidak langsung merobek imej Islam itu sendiri, sebagai satu agama murni dan jalan hidup paling ideal.Menyedari bahaya ancaman terbabit, umat Islam seharusnya sentiasa berwaspada sepanjang masa, terutama apabila berdepan dengan dakwaan mengelirukan sesetengah pihak, kononnya merekalah yang terbaik dan paling selamat.

Allah mengingatkan kepada hamba-Nya agar sentiasa berpegang teguh dengan agamanya iaitu Islam melalui firman-nya dalam al-Quran surah an-An'am ayat 153, maksudnya:
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”
Umat Islam perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah, memahami kandungannya serta melipat gandakan usaha dakwah dengan menekankan aspek pengukuhan akidah, menjaga sahsiah diri dan mematuhi segala yang disyariatkan.

No comments: