MINDA YANG KREATIF AKAN MENGHASILKAN SATU NATIJAH YANG SANGAT MEMBANGGAKAN DALAM ARENA PENULISAN.

Friday, August 17, 2007

haram menikahi wanita musyrik

Sayid Qutub berkata: Pernikahan atau perkahwinan merupakan hubungan
yang paling mendalam, paling kuat dan paling kekal yang mengikatkan
di antara dua manusia. Hubungan ini meliputi sambutan-sambutan dan
penerimaan timbal-balik yang paling luas yang dilakukan oleh dua
manusia itu.

Oleh sebab itu hubungan ini memerlukan kepada perpaduan hati dan
titik pertemuannya dalam satu ikatan yang tidak terhurai lagi. Untuk
mencapai perpaduan hati, pastilah kedua-duanya bersatu di atas satu
akidah dan tujuan hidup, kerana akidah merupakan sesuatu yang paling
mendalam dan luas mengimarahkan jiwa manusia.

Akidahlah yang mempengaruhi jiwa manusia, menyesuai dan menentukan
perasaan-perasaanny a, penerimaannya dan seterusnya akidahlah yang
menentukan perjalanan dalam seluruh kehidupan.

Firman Allah: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-
perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama
Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu
lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya
menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan
Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman
(memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang
beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun
keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-
orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga
dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-
ayat-Nya (keterangan- keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia,
supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya) . (Al-Baqarah:
221)

Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-
perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama
Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu
lebih baik daripada perempuan kafir musyrik.

Mengikut pandangan ulama tafsir ayat ini diturunkan kepada seorang
sahabat Nabi yang bernama Marsad bin Abi Marsad yang diutuskan oleh
Rasulullah ke Mekah. Kemudian beliau bertemu dengan seorang
perempuan musyrik yang rupawan yang bernama Anaq sehinggalah apabila
beliau meminta izin kepada Rasulullah untuk berkahwin dengannya yang
musyrik itu lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat ibn Abbas.

Pendapat kedua menyatakan bahawa Abdullah bin Rawahah memukul hamba
perempuannya sedangkan beliau seorang yang rajin solat, puasa dan
lain-lain. Akhirnya Abdullah mengadu kepada Rasulullah dan
Rasulullah bersabda: "Hai Abdullah! Ini perempuan Mukmin".

Akhirnya Abdullah berkata, demi yang membangkit kamu dengan
kebenaran aku akan merdekakannya dan kahwinkannya menyebabkan orang
Islam menghinanya. Lantas turun ayat ini seperti yang diriwayatkan
oleh al-Suddi.

Firman Allah s.w.t: Sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Terdapat
dua pandangan:

Pertama: Dengan sebab cantik dan jelitanya.

Kedua: Dengan sebab keturunannya.

Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-
perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka
beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki
yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun
keadaannya menarik hati kamu.

Al-Sonhaji berkata: Ayat ini pula ditujukan kepada orang yang
menjadi wali kepada perempuan di dalam akad nikah. Adalah dilarang
menikahkan perempuan-perempuan Islam kepada orang-orang musyrik,
sehingga mereka mereka itu beriman. Dan mengahwinkannya kepada
seorang hamba yang Mukmin lebih baik di sisi Allah daripada
mengahwinkannya kepada seorang merdeka tetapi musyrik (kafir)
walaupun ia berkelebihan kerana hartanya, berbangsa, atau elok
rupanya atau apa jua pun keistimewaannya yang ada padanya, tidak
dapat menandingi seorang hamba yang Mukmin di sisi Allah.

Firman Allah s.w.t: (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir
itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi
keampunan dengan izin-Nya.

Ini kerana orang musyrikin sifatnya sentiasa mengajak ke arah neraka
sama ada dari segi perkataan atau perbuatan apatah lagi dengan sebab
hubungan kekeluargaan hubungan suami isteri yang memberi kesan yang
besar. Sebaliknya Allah menyeru orang yang beriman ke arah syurga
dan juga keampunan dengan izin dan taufik-Nya.

Firman Allah s.w.t: Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-
keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat
mengambil pelajaran (daripadanya) .

Al-Maghari berkata: Dia menjelaskan segala dalil pada hukum syariat
bagi manusia sehingga hikmah dan faedahnya. Mudah-mudahan mereka
mengambil iktibar.

Permasalahan Hukum

Apakah boleh mengahwini wanita musyrik dan ahli kitab?

Ibn al-Arabi berkata: Terdapat tiga pendapat tentang ayat tersebut:

Tidak harus melakukan akad nikah dengan wanita musyrik sama ada dia
ahli kitab atau bukan ahli kitab. Pendapat ini dikatakan oleh Umar
melalui salah satu riwayat yang dilaporkan daripadanya. Ia dipilih
oleh Imam Malik dan al-Syafie tetapi dengan syarat wanita itu
seorang hamba.

Yang dimaksudkan, ialah larangan menyetubuhi mereka yang tidak
mempunyai kitab seperti penganut agama Majusi dan orang Arab. Ini
adalah pendapat Qatadah.

Ayat ini dimansuhkan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat
5 yang bermaksud: …dan juga perempuan-perempuan yang menjaga
kehormatannya dalam kalangan orang yang diberikan kitab dahulu
daripada kamu.

Al-Qadhi berkata: Kami belajar dengan Syeikh al-Imam Fakhrul Islam
Abu Bakar bin Muhammad bin Ahmad bin al-Hassan al-Syasyi di Madinah
al-Salam. Dia ada berkata: Abu Hanifah berhujah menunjukkan
kebenaran mengahwini hamba wanita ahli kitab dengan firman Allah
yang bermaksud: "…dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang
beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik".

Alasan pendalilannya ialah Allah memberikan pilihan berkahwin dengan
hamba wanita yang beriman atau hamba perempuan musyrik. Kalaulah
mengahwini hamba perempuan yang musyrik tidak diharuskan tentulah
Allah tidak memberi pilihan antara kedua-duanya. Ini kerana
pemilihan adalah bagi dua perkara yang harus, bukan antara yang
harus dan yang dilarang, dan bukan antara dua perkara yang
berlawanan.

Tidakkah anda memerhatikan bahawa anda tidak mungkin
mengatakan "madu lebih manis daripada cuka". Jawapan kepada
kenyataan ini daripada tiga sudut:

Adalah harus dibuat pilihan antara dua perkara yang berlawanan dari
segi bahasa dan plot al-Quran, kerana Allah menyebutkan dalam surah
al-Furqan, ayat 24 yang bermaksud: Ahli-ahli syurga pada hari itu
lebih baik tempat menetapnya, dan lebih elok tempat rehatnya.
Padahal ahli neraka tidak ada kebaikan langsung.

Dalam suratnya kepada Abu Musa, Umar r.a. menyebut, "Berpatah balik
kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan".

Allah berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya seorang hamba
lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik. Oleh
sebab itu tidak harus perempuan beriman berkahwin dengan hamba abdi
lelaki yang musyrik, maka begitulah juga tidak harus lelaki Muslim
berkahwin dengan wanita musyrik.

Hal ini disebabkan kalau satu bahagian ayat ini menunjukkan suatu
maksud maka bahagian yang satu lagi juga menunjukkan maksud yang
sama, kerana kedua-dua bahagian ini diterangkan oleh ayat berkaitan
satu perkara.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hamba perempuan, yang dimaksudkan
bukanlah hamba abdi milik manusia, tetapi ia dimaksudkan sebagai
wanita keturunan Adam. Semua anak Adam adalah hamba Allah sama ada
lelaki atau perempuan. Pendapat ini dikatakan oleh Qadi Basrah Abu
Bakar al-Jurjani rahimahullah.

Dahulu pertumbuhan pertama kelompok Muslimin di Mekah pada mulanya
tidak membenarkan adanya perpisahan sosial dan tegas dari kaum
musyrikin seperti perpisahan dari akidah yang wujud di dalam jiwa
orang-orang Islam.

Ini disebabkan kedudukan sosial berasingan yang memerlukan kepada
masa dan kepada penyusunan yang beransur-ansur. Tetapi oleh sebab
Allah mahukan kelompok Muslimin mempunyai kedudukan yang merdeka di
kota Madinah, di mana ia mempunyai perbezaan keperibadian sosialnya
di samping mempunyai perbezaan keperibadian akidahnya, maka satu
penyusunan yang baru mula dibuat.

Ayat ini diturunkan bagi mengharamkan sebarang perkahwinan yang baru
di antara orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin. Adapun
perkahwinan yang telah sedia wujud, maka perkahwinan itu terus
dikekalkan sehingga kepada tahun yang keenam Hijrah di mana turun di
Hudaibiah ayat dari surah al-Mumtahanah.

Iktibar Ayat

* Tidak boleh berkahwin dengan orang musyrik sama ada lelaki atau
perempuan.

* Kebaikan dan kelebihan seseorang bukan berdasarkan zahir semata-
mata, tetapi kepada iman dan takwa.

* Fungsi ayat Allah menjelaskan kepada manusia supaya mereka
mengambil peringatan dan iktibar.

No comments: