MINDA YANG KREATIF AKAN MENGHASILKAN SATU NATIJAH YANG SANGAT MEMBANGGAKAN DALAM ARENA PENULISAN.

Saturday, September 08, 2007

Apa pandangan anda ttg wanita menjadi hakim syarie

Rasional lantik hakim syarie wanita

Perbincangan mengenai pelantikan wanita Islam sebagai
hakim di Mahkamah Syariah sekali lagi hangat
diperbahaskan.

Dalam resolusi Seminar Wanita Muslim Meniti Perubahan
(Muslim Women in the Midst of Change) anjuran Forum
Profesional Malaysia (MPF) baru-baru ini, ada saranan
agar keputusan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang
mengharuskan wanita Islam menjadi hakim di Mahkamah
Syariah hendaklah dilaksanakan dengan segera.

Pandangan ini diutarakan oleh Dekan Kuliyyah Ahmad
Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Prof. Dr. Zaleha Kamaruddin, dan turut disokong oleh
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dan Pengarah
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Prof. Datuk
Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan harus wanita Islam
menjadi hakim di Mahkamah Syariah dengan syarat
memiliki kebolehan, kewibawaan, kelayakan dan
pengalaman luas dan tidak pula mengadili kes-kes hudud
dan qisas (keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 6 April
2006).

Sebenarnya, Malaysia agak ketinggalan dalam hal ini
walaupun kita jauh ke hadapan dalam sistem kewangan
dan perbankan Islam. Malaysia yang dianggap oleh dunia
Islam sebagai negara contoh tidak menunjukkan
‘teladan’ yang baik dalam pelantikan wanita Islam
sebagai hakim di Mahkamah Syariah. Negara-negara Islam
jiran seperti Indonesia dan Brunei telah pun
melaksanakan ketetapan ini. Ia juga telah dilaksanakan
di negara-negara Islam lain seperti Mesir, Maghribi,
Sudan dan Pakistan.

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai ‘kuasa’ untuk
memaksa negeri-negeri menerima fatwa yang
dikeluarkannya kerana seperti yang diperuntukkan dalam
Perlembagaan Persekutuan, urusan hal ehwal mengenai
undang-undang Islam adalah terletak secara eksklusif
di tangan kerajaan-kerajaan negeri. Setiap negeri
mempunyai Jawatankuasa Fatwa masing-masing dan fatwa
yang dikeluarkan setelah diwartakan hanya berkuat
kuasa di negeri berkenaan sahaja. Ini termasuk dalam
persoalan pelantikan wanita Islam sebagai hakim di
Mahkamah Syariah.

Sesungguhnya, ulama berbeza pendapat mengenai perkara
ini. Dua pandangan yang bertentangan menyebabkan
sesetengah negeri sukar membuat keputusan. Apatah
lagi, pandangan yang mengharamkannya pula datang
daripada mazhab Syafie yang menjadi mazhab dominan di
negara ini.

Sebenarnya, pandangan yang mensyaratkan lelaki sebagai
hakim di mahkamah disokong oleh fuqaha dari mazhab
Syafie, Hanbali dan Maliki. Mereka berhujah kepada
beberapa dalil al-Quran, antaranya:

* “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh
kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka
(lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita).”
(al-Nisa:34)

* “Dan kaum lelaki itu mempunyai satu tingkat
kelebihan berbanding kaum wanita” (al-Baqarah: 228).

Mereka juga merujuk kepada satu hadis yang bermaksud:
“Tidak sesekali akan berjaya sesuatu kaum yang
melantik pemimpin mereka daripada kalangan wanita.”
(Diriwayatkan oleh Bukhari, Tirmizi, Nasa’i dan Ahmad
dari Abu Bakrah).

Para ulama yang menyokong pandangan ini berhujah
bahawa lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal
berbanding dengan wanita. Justeru, bagi mereka,
pelantikan wanita sebagai hakim akan membawa kepada
kerosakan.

Melantik

Tetapi mazhab Hanafi mengharuskan pelantikan wanita
sebagai hakim kecuali dalam kes-kes hudud dan qisas.
Mereka menolak dalil-dalil yang dikemukakan oleh
majoriti. Dalil al-Quran yang menyatakan “kaum lelaki
adalah pemimpin bagi kaum wanita” sebenarnya
dikhususkan dalam urusan hal ehwal rumah tangga, dan
tidak lebih dari itu.

Justeru, kepimpinan lain adalah diharuskan. Golongan
Hanafi juga menolak hadis “Tidak sesekali akan berjaya
mana-mana kaum melantik wanita mengendalikan urusan
mereka”. Terdapat tiga alasan utama yang menyebabkan
mereka menolak hadis ini:

* Ia hanya melibatkan larangan melantik wanita sebagai
Imam Al-Uzma dan tidak kepada jawatan-jawatan lain.

* Hadis tersbut adalah hadis Ahad yang bersifat zanni;
dan

* Ia merujuk khusus kepada jawapan oleh Nabi Muhammad
s.a.w terhadap pelantikan Raja Parsi yang melantik
anak perempuannya sebagai pengganti.

Dalam suasana yang berbeza dengan zaman dahulu,
seharusnya pandangan mazhab Hanafi diterima pakai. Ini
disokong oleh Imam-imam lain seperti Ibn Jarir
Al-Tabari dan Hassan Al-Basri. Hujah mereka ialah
kalau wanita boleh dilantik menjadi mufti, maka
melantik mereka ke jawatan hakim juga adalah patut.

Ini berdasarkan amalan yang pernah dibuat oleh Nabi
Muhammad s.a.w sendiri di mana Baginda pernah melantik
seorang wanita bernama Samra’ binti Nuhaik al-Asadiah
sebagai Muhtasibah (jawatan dalam Hisbah) di Mekah.
Jawatan ini merupakan salah satu cabang dari hakim.

Ini ditambahkan pula dengan pelantikan Al-Syifa’ Abi
Sulaiman sebagai Muhtasibah di pasar Madinah semasa
zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Tambahan pula,
mengikut pendapat Ibn Jarir, tugas hakim ialah untuk
melaksanakan keadilan dan keadilan boleh dilaksana
oleh lelaki atau wanita.

Justeru, beliau menolak hadis yang diriwayatkan oleh
Abu Bakrah bahawa sesuatu kaum itu tidak akan berjaya
kalau pemimpinnya dilantik daripada kalangan wanita.
Ini kerana, larangan dalam hadis itu hanyalah untuk
jawatan khalifah.

Pandangan-pandangan yang mengharuskan wanita dilantik
sebagai hakim turut dikongsi oleh Ibn Hazm
Al-Zahiriyyah, Ibn Al-Qayyim dan beberapa ulama
kontemporari seperti Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi,
Syeikh Rashid Al-Ganushi, Allahyarham Dr. Zaki Badawi
dan lain-lain.

Menurut Prof. Madya Dr. Siti Zalikhah Md. Nor, Jabatan
Syariah, UKM, terdapat banyak rasional dalam
mengharuskan pelantikan wanita sebagai hakim,
antaranya:

* Memandangkan kes-kes yang terlibat di Mahkamah
Syariah hanya dalam kategori mal dan kesalahan ta’zir;

* Hakim sekarang tidak memerlukan ijtihad yang berat
seperti dahulu;

* Majoriti pelanggan Mahkamah Syariah terdiri daripada
wanita;

* Kehadiran wanita di mahkamah tidak mengaibkan
golongan lelaki; dan

* Terdapat wanita yang dilantik sebagai peguam.

Dalam muzakarah pakar yang dianjurkan oleh Jabatan
Mufti Selangor tahun lalu (16 November 2006), para
hadirin telah melihat hujah-hujah yang dikemukakan
oleh para pembentang. Ada yang menyokong supaya wanita
dilantik sebagai hakim di Mahkamah Syariah dan ada
yang menentang. Datuk Md. Salleh Md.@ Ahmad, (UIAM)
tidak bersetuju dengan pelantikan wanita sebagai hakim
melihat kepada hujah-hujah yang dikemukakan di atas.
Datuk Syeikh Ghazali Abdul Rahman (JKSM) pula
nampaknya berhati-hati dalam membuat keputusan,
manakala Dr. Siti Zalikhah menyokong penuh pandangan
yang mengharuskan pelantikan wanita sebagai hakim di
Mahkamah Syariah.

Pandangan majoriti yang menyatakan terdapat ijmak
ulama bahawa wanita tidak boleh dilantik sebagai hakim
sebenarnya tidak tepat. Ini kerana pada pengamatan
penulis, pandangan yang menyatakan haram adalah
pendapat jumhur. Pandangan minoriti termasuk daripada
mazhab Hanafi, Ibn Jarir Al-Tabari, Ibn Hazm dan Ibn
Qayyim serta ulama kontemporari seperti Syeikh Dr.
Yusof Al-Qardhawi dan Rashid Al-Ghanushi tidak boleh
ditolak begitu sahaja.

Pelantikan wanita sebagai hakim di Mahkamah Syariah
tidak bertentangan dengan hukum syarak. Ini
lebih-lebih lagi melihat kedudukan bidang kuasa dan
peruntukan terhad yang diberikan kepada Mahkamah
Syariah yang tidak boleh menjatuhkan hukuman hudud dan
qisas.

Mengambil pendekatan golongan minoriti bukanlah suatu
yang asing dan pelik dalam Fiqh. Tambahan pula,
walaupun pandangan mazhab Syafi’i merupakan pandangan
dominan di Malaysia, terdapat beberapa amalan yang
diambil daripada mazhab Hanafi seperti pembayaran
zakat fitrah dengan menggunakan wang menggantikan
beras setelah mengambil kira faktor maslahah dan
peredaran zaman.

– DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL,

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU),

Universiti Teknologi Mara, (UiTM).

No comments: